Ahad, 18 Oktober 2020

Benar bekas banduan bekerja dalam semua sektor, kata persekutuan majikan

Pengarah eksekutif MEF Shamsuddin Bardan menggesa lebih banyak penglibatan secara
 langsung daripada kerajaan bagi membantu bekas banduan mencari pekerjaan tanpa 
sebarang stigma. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Sebuah persekutuan majikan dan sebuah organisasi yang mengendalikan pusat pemulihan dadah menyambut baik program pekerjaan yang disediakan untuk bekas banduan dengan berkata, ia membantu mengurangkan kadar relaps dan isu kesesakan dalam penjara,

Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) berkata, kadar boleh kerja bekas banduan masih rendah dan program I-Kembali dapat meningkatkan kadar pengambilan kerja kumpulan itu.

I-Kembali adalah program kerjasama antara Jabatan Penjara dan Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (Pergak) yang menawarkan program penempatan bekas banduan dan penagih dadah bagi membantu mereka mendapat pekerjaan dalam 6 sektor, iaitu pembuatan, perkhidmatan, pembinaan, pertanian, pemasaran dan pengurusan.

Program berkenaan juga diharapkan dapat mengurangkan kebergantungan pada buruh asing.

Bagaimanapun, pengarah eksekutif MEF Shamsuddin Bardan berkata, program pekerjaan untuk bekas banduan tidak harus dihadkan kepada sektor yang biasanya diisi oleh buruh asing.

“Bekas banduan tidak harus dilayan seperti gantian kepada buruh asing,” Shamsuddin memberitahu FMT.

“Stigma terhadap bekas banduan akan kekal kalau kita mempunyai minda begini. Pasaran pekerjaan untuk mereka tidak harus dihadkan. Ia sebaliknya perlu terbuka.”

Beliau berkata, majikan digalakkan mengambil bekerja bekas banduan yang mempunyai kemahiran tertentu di luar sektor yang tersenarai.

Shamsuddin turut berkata, kebanyakan program pekerjaan untuk bekas banduan dan penagih dadah dikendalikan oleh NGO dan wujud keperluan penyertaan lebih aktif daripada kerajaan.

“Tanpa penglibatan aktif kerajaan, stigma terhadap bekas banduan dalam kalangan orang awam dan majikan akan kekal tidak berubah.

“Kerajaan perlu melaksanakan program yang sama. Ia akan meningkatkan keyakinan dalam kalangan majikan untuk mengupah mereka (bekas banduan),” katanya.

Beliau berkata, kerajaan juga harus memberi insentif kepada majikan yang mengupah bekas banduan.

“Mereka yang menggaji bekas banduan harus diberi potongan cukai dan subsidi gaji.”

Bagaimanapun, beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai program pekerjaan sedemikian dengan berkata, ia boleh menambah buruk stigma terhadap bekas banduan.

“Mungkin kita tidak harus melabelkan mereka sebagai bekas banduan, tetapi sebagai penganggur seperti orang lain.

“Masalahnya jika kita mengelompokkan mereka bersama-sama, orang ramai akan mula memandang mereka dengan prejudis.

“Biar mereka sertai semula masyarakat tanpa sebarang label,” katanya.

Presiden Persatuan Pengasih Malaysia Ramli Abd Samad menggesa kerajaan melatih semula dan meningkatkan kemahiran bekas banduan.

“Ramai penagih dadah tidak mempunyai kelayakan pendidikan. Jadi, mereka memerlukan kemahiran untuk memenuhi syarat pekerjaan,” kata Ramli, dengan menambah bahawa kerajaan harus menyediakan program dan dana untuk meningkatkan kemahiran insaniah mereka.

Beliau juga menggesa kerajaan mengeluarkan kesalahan pengunaan dan pemilikan dadah untuk kegunaan sendiri daripada senarai perbuatan jenayah.

Penagih dadah harus dilayan sebagai pesakit, bukan penjenayah,” katanya.

Tiada ulasan: