Isnin, 26 Oktober 2020

Belanjawan 2021 Diharap Fokus Soal Rakyat, Teruskan Bantuan Pembayaran Bersasar – Norliza

UMNO ONLINE

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Norliza Abdul Rahim berharap supaya pembentangan Belanjawan 2021 memberi fokus utama dalam soal membantu rakyat jelata serta memastikan kecairan dan sumber kewangan sentiasa tersedia bagi membolehkan Kerajaan terus memberikan sokongan kepada rakyat dan perniagaan serta pelaburan lain dalam mendepani kemelut pandemik COVID-19 dan ekonomi semasa.

Beliau Naib Ketua Wanita UMNO percaya institusi kewangan sentiasa memberi jaminan bahawa perkhidmatan perbankan yang berterusan boleh terus dinikmati menerusi pelbagai platform perbankan.

“Dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar apatah lagi pandemik COVID-19 yang masih belum reda, rakyat masih terkesan dengan keadaan sedemikian. Jumlah pengangguran semakin meningkat, peniaga dan peruncit ramai yang gulung tikar, penjaja dan usahawan masih bertungkus-lumus mempertahankan perniagaan masing-masing dan semakin ramai rakyat yang kehilangan pekerjaan.

“Semua tahu bahawa rakyat adalah pelanggan terbesar institusi kewangan dan mereka masih mengalami tekanan aliran tunai yang tinggi malah sudah semestinya mereka ini memerlukan sokongan tambahan bagi membolehkan mereka menguruskan keadaan kewangan dengan lebih baik,” katanya dalam kenyatan media, hari ini.

Dalam hal ini, Norliza juga mencadangkan semua institusi kewangan dan pinjaman termasuklah Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) turut mengambil langkah bagi meneruskan bantuan pembayaran bersasar sehingga 30 Jun 2021.

Terdahulu beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Negeri Pulau Pinang mengalu-alukan langkah terbaik Bank Islam Malaysia Bhd (BIMB) yang meneruskan bantuan pembayaran bersasar yang ditawarkan kepada mereka yang hilang pekerjaan atau mengalami pengurangan pendapatan bulanan dilanjutkan sehingga 30 Jun 2021.

“Ini suatu langkah yang sangat murni dan prihatin oleh BIMB yang terus komited untuk membantu pelanggan mendepani tempoh semasa yang mencabar khususnya ekoran peningkatan kes positif COVID-19 di seluruh negara.

“Terima kasih BIMB kerana sentiasa prihatin kepada pelanggannya serta memahami situasi ekonomi semasa negara, malahan langkah BIMB yang turut menyediakan pilihan penjadualan dan penstrukturan semula kepada pelanggan yang tidak terkesan oleh kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan gaji tetapi masih memerlukan bantuan bagi membolehkan mereka mengatur semula aliran kewangan masing-masing adalah sangat dialu-alukan langkah berkenaan,” katanya lagi. – UMNO Online

Tiada ulasan: