Jumaat, 30 Oktober 2020

Ambil surat di balai polis kalau kerja sendiri, kata Ismail

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata individu yang tidak mempunyai 
majikan kerana bekerja sendiri perlu mendapatkan surat kebenaran di balai polis bagi 
memudahkan urusan kerja mereka dan boleh melepasi setiap sekatan jalan raya. (Gambar 
Bernama)

PETALING JAYA: Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob menasihati individu yang bekerja sendiri dan tidak mempunyai surat kebenaran merentas daerah atau negeri mendapatkannya di balai polis berhampiran.

Beliau berkata, dengan surat diberikan itu individu terbabit akan dibenarkan menjalankan tugas mereka dan boleh melepasi setiap sekatan jalan raya dijalankan polis.

“Saya nasihatkan ke balai polis, untuk dapatkan surat kebenaran dan pelepasan pergerakan merentas daerah dan negeri. Saya faham mereka tidak mempunyai majikan kerana bekerja sendiri dan tidak ada sesiapa yang boleh mengesahkan.

“Dengan surat itu, mereka boleh melepasi setiap sekatan jalan raya yang dikenakan. Jadi, ini cara paling sesuai bagi mereka yang tidak bermajikan,” katanya pada sidang media hari ini.

Ismail berkata demikian ketika ditanya isu tular membabitkan penjaja makanan yang dikenakan denda RM1,000 kerana tidak mempunyai surat kebenaran dan pelepasan daripada polis.

Sementara itu, beliau turut menjawab isu membabitkan penduduk di Pulau Omadal, Sabah, yang dikatakan meminta bantuan bekalan makanan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Pulau Omadal ini tidak termasuk dalam lokaliti di Semporna yang diletakkan bawah PKPD. PKPD bermakna tidak dibenarkan keluar dari rumah oleh itu kerajaan memberikan bantuan makanan, yang dihantar ke rumah kerana mereka tidak boleh keluar.

“Ia bawah PKPB, iaitu aktiviti ekonomi buka seperti biasa. Mereka boleh beli makanan dan sebab itulah pihak MKN tidak hantar sebarang keperluan makanan kepada mereka,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Ismail bawah Jabatan Pengurusan Bencana Sabah, mereka mungkin akan melihat keperluan kawasan daif yang memerlukan bantuan.

“Mereka mungkin akan dikategorikan bawah penduduk miskin, yang perlukan bantuan makanan, tetapi tidak terletak bawah SOP PKPB. Kerajaan tidak hantar makanan kepada penduduk berada dalam kawasan PKPB. Hanya di kawasan PKPD.

“Namun, bagi penduduk Omadal, Insya-Allah kita akan sampaikan kepada Pusat Pengurusan Bencana Sabah untuk melihat Pulau Omadal ini, kalau mereka perlukan bantuan, berdasarkan kes-kes tertentu,” katanya.

Mengulas isu anggota polis yang turut terkesan wabak Covid-19, Ismail berkata rakyat tidak perlu risau dengan situasi itu memandangkan jumlah anggota polis ketika ini masih cukup untuk mengawal keselamatan negara.

“Kita dapat laporan tersebut dan kita bersedia jika ada kekurangan. Kita akan bawa anggota tambahan dari tempat lain, setakat ini kita masih mampu untuk mobilisasikan anggota dari kawasan lain. Rakyat tidak perlu bimbang, kita masih bersedia dan masih mampu tambah anggota,” katanya.

Tiada ulasan: