Ahad, 13 September 2020

Zaleha pilih suami umur 28 tahun

Mohammad Arif Nizam
196b122e-105f-4381-b037-77105b896e82-681x504
Ketua Wanita UMNO Bahagian Jasin, Datuk Zaleha Bujang menamatkan status ibu tunggal apabila selamat dinikahkan dengan jejaka pilihan hatinya pada Jumaat lalu.

MELAKA – Ketua Wanita UMNO Bahagian Jasin, Datuk Zaleha Bujang menamatkan status ibu tunggal apabila selamat dinikahkan dengan jejaka pilihan hatinya pada Jumaat lalu.

Zaleha, 62, yang telah lima tahun bergelar ibu tunggal selepas pemergian suaminya mengambil keputusan bernikah setelah berkenalan dengan seorang peniaga dikenali sebagai Ashraf berusia 28 tahun.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Jasin, Dr Akmal Saleh yang menjadi saksi pada sesi pernikahan yang berlangsung di Pejabat Agama Islam Daerah Jasin turut bersyukur dan mendoakan pasangan itu sentiasa dilimpahi rahmat Allah.

Menurutnya, pasangan itu berkenalan ketika dalam satu majlis di rumah seorang bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) wanita di Melaka beberapa tahun lalu sebelum mengambil keputusan untuk mendirikan rumah tangga.

Memetik laporan Sinar Harian, Zaleha ketika dihubungi memaklumkan beliau akan berbulan madu di Cameron Highlands, Pahang.

Terdahulu, gambar pernikahan Zaleha yang memilih rona sedondon putih dengan pasangannya tular di media sosial dan menunjukkan perbezaan usia yang banyak bukan penghalang jejaka itu berjaya menambat hati Zaleha untuk dijadikan sebagai suri hati.

Zaleha yang akan menyambut ulang tahun kelahirannya pada 28 September ini juga pernah tular dengan tindakannya yang sanggup mendermakan gelang emas kesayangannya bagi membantu Tabung Solidariti Datuk Seri Najib Razak. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: