Ahad, 20 September 2020

Tidak berganjak pertahan kedudukan Islam – PM

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
MUHYIDDIN Yassin (kanan) menerima resolusi daripada Nasrudin Hassan (kiri) pada Majlis Perjumpaan Khas Perdana Menteri bersama Pemimpin Pemimpin Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (NGO Islam) di Putrajaya, hari ini. Turut kelihatan Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri (tengah). - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak berganjak malah terus istiqamah mempertahankan akidah dan kedudukan agama Islam di negara ini seperti mana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan negeri.

Menegaskan pendirian itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, usaha-usaha mengangkat kesucian agama Islam adalah sebahagian penting daripada perjuangan umat Islam yang mesti terus diperkasa oleh semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam.

Kata beliau, usaha itu termasuk menyekat pengaruh ideologi liberalisme dan sekularisme barat serta pelbagai bentuk pemikiran dan cara hidup masyarakat sehingga mewujudkan keresahan dalam kalangan umat Islam di Malaysia.

“Pengaruh ideologi ini mewujudkan pelbagai bentuk gerakan di peringkat antarabangsa termasuk di negara ini yang mendesak supaya pelaksanaan dan penguatkuasaan undang-undang Islam dikaji semula.

Pada masa sama, mereka turut menuntut supaya sebahagian daripada undang-undang Islam dimansuhkan dan amalan-amalan yang jelas menyeleweng daripada syariat Islam seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) dan ajaran sesat dibenarkan sehingga menyebabkan ramai dalam kalangan pimpinan NGO Islam bangkit mempertahan kemurnian akidah umat Islam dan membela kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam perjumpaan khas Perdana Menteri bersama pemimpin-pemimpin NGO Islam anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), di sini hari ini.

Pada majlis itu, Perdana Menteri menerima resolusi daripada NGO-NGO Islam berkenaan yang diserahkan oleh Yang Dipertua Yadim, Nasrudin Hasan sambil disaksikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Muhyiddin berkata, beliau mempunyai pendirian sama tentang kepentingan memberi keutamaan kepada usaha-usaha mengangkat kesucian agama Islam, memelihara kemurnian akidah umat Islam, mempertahan keabsahan undang-undang Islam dan meningkatkan syiar Islam menerusi usaha-usaha dakwah serta tarbiyyah.

“Selain itu, usaha berkenaan melibatkan menambah baik kualiti sistem pendidikan Islam, mengembangkan keupayaan ekonomi umat Islam, memperkasa institusi-institusi yang menyumbang kepada kemajuan umat Islam dan memperkukuhkan perpaduan ummah,” katanya.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, dalam usaha membela dan mempertahan kesucian agama Islam dan kemurnian akidah, mana-mana pihak diingatkan tidak mengambil pendekatan ekstrem sehingga menimbulkan keresahan dalam masyarakat majmuk di negara ini.

Justeru itu, kata beliau, kerajaan tidak berkompromi dengan sebarang bentuk amalan ekstremisme yang boleh menggugat keharmonian kaum, ketenteraman awam dan keselamatan negara.

Menurut beliau, tindakan tegas berlandaskan undang-undang telah dan akan diambil terhadap pihak-pihak yang menyebarkan amalan dan fahaman ekstremisme tanpa mengira agama.

“Dalam usaha kita membela kedudukan Islam dan memelihara kemurnian akidah umat Islam, pendekatan yang kita ambil mestilah berteraskan prinsip hikmah dan nasihat yang baik.

“Kita mesti ingat bahawa Malaysia adalah sebuah negara majmuk yang sentiasa mementingkan kesederhanaan dan keharmonian dalam hubungan kaum dan agama.

“Ini semua adalah sebahagian penting daripada perjuangan umat Islam di negara ini yang mesti terus diperkasakan. Justeru itu, saya amat menyambut baik peranan yang dimainkan oleh NGO Islam bersama-sama dengan pihak kerajaan untuk sentiasa bertukar pandangan dan saling memperkukuhkan peranan masing-masing dalam memelihara kedudukan dan kesucian agama Islam di negara kita,” katanya.

Di bawah kepimpinan beliau, Perdana Menteri berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) lebih sensitif dan responsif terhadap suara NGO-NGO Islam.

Beliau percaya bahawa ruang yang diwujudka sama ada melalui platform Yadim mahupun saluran komunikasi secara langsung kepada kerajaan dimanfaatkan sepenuhnya oleh masyarakat Islam di negara ini untuk memperkasa usaha dakwah serta pembangunan ummah. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: