Jumaat, 25 September 2020

Teresa Kok tarik balik saman menghina mahkamah terhadap pemimpin NGO Melayu


KUALA LUMPUR: Bekas menteri industri utama Teresa Kok hari ini menarik balik permohonan menghina mahkamah terhadap pemimpin sebuah NGO Melayu Azwaddin Hamzah atas kegagalannya mematuhi penyelesaian luar mahkamah yang dipersetujui sebelum itu.

Ahli Parlimen Seputeh itu memfailkan saman terhadap Azwanddin berkenaan dakwaan beliau yang dibuat pada perhimpunan memperingati bekas anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim bahawa Kok terlibat dalam pertikaian tanah berhubung kuil Seafield Sri Maha Mariamman.

Peguamnya SN Nair berkata beliau menarik balik permohonan menghina mahkamah prosiding dan waran tangkap selepas Azwanddin hadir di mahkamah hari ini.

“Beliau memberi jaminan akan menyelesaikan perkara tersebut,” kata Nair.

“Selain itu, kami memutuskan untuk meneruskan petisyen bankrap kami terhadap beliau di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan beliau tiada masalah dengan itu,” kata Nair dengan menambah bahawa mahkamah Shah Alam itu akan mendengar petisyen Kok pada 16 Nov.

Beliau berkata, dalam prosiding bankrap, Azwanddin perlu memfailkan permohonan untuk membantah petisyen mereka.

“Kalau beliau gagal berbuat begitu, kami akan dapatkan perintah mahkamah dan meneruskan prosiding bankrap,” kata Nair.

Beliau berkata, Kok memutuskan untuk meneruskan prosiding bankrap atas dasar “kemanusiaan”.

“Pelanggan saya hanya mahukan jumlah dalam penghakiman persetujuan, bukan memasukkan seseorang ke dalam penjara kerana mereka tidak dapat membayar,” tambah beliau.

Kok dan Azwanddin mencapai persetujuan dalam kes saman itu Julai tahun lepas, dan Azwaddin sepatutnya membayar sejumlah wang yang tidak didedahkan sebagai sebahagian daripada penghakiman persetujuan serta membuat kenyataan meminta maaf dalam 3 akhbar, iaitu The Star, Sin Chew Daily dan Sinar Harian.

Kok berkata beliau tidak pernah terlibat dalam rusuhan kuil yang berlaku pada November 2018 dan kenyataan Azwanddin “jelas berniat buruk dan jahat”.

Tiada ulasan: