Rabu, 30 September 2020

Tabika elit lebarkan lagi jurang pendidikan di Malaysia

Norlaile Abd Rahman
MGF19022020_PERASMIAN-BANGUNAN-BAHARU-IYC_11-681x454
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Kewujudan tabika elit seperti yang dicadangkan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) akan melebarkan lagi jurang pendidikan di negara ini.

Pengasas Parti Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, daripada membazir wang untuk melabur jutaan ringgit bagi projek perintis tabika elit, lebih baik dana tersebut disalurkan untuk menaik taraf kualiti Tabika Kemas sedia ada.

Ini bagi membolehkan semua kanak-kanak mendapat pendidikan yang setaraf di samping menambah baik sistem pendidikan negara.

“Soalnya, mengapa KPLB (Kementerian Pembangunan Luar Bandar) tidak melaksanakan sistem “Tabika Elit” ini di dalam seluruh operasi Tabika KEMAS? Mengapa perlu wujud kasta pendidikan baru?

“Mengapa kelebihan pendidikan ini hanya layak dinikmati oleh keluarga yang berpendapatan besar?

“Adakah Kementerian Pembangunan Luar Bandar juga mencadangkan bahawa, “Jika keluarga kanak-kanak itu dari kumpulan yang susah, maka biarlah mereka belajar dengan kualiti pendidikan yang sederhana sahaja?”

“Pendidikan sepatutnya menjadi hak setiap kanak-kanak. Lebih-lebih lagi jika pendidikan itu disediakan oleh pihak kerajaan, maka amalan diskriminasi pendidikan dan melayan kumpulan tertentu lebih baik dari yang lain mesti ditolak jauh-jauh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, Kemas akan mewujudkan tabika elit dengan kurikulum lebih baik berbanding tabika Kemas biasa sejajar dengan kemajuan dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.

Tabika tersebut dicadangkan hanya untuk murid yang ibu bapa mereka mempunyai kemampuan kewangan kerana yurannya lebih tinggi berbanding tabika Kemas biasa iaitu di antara RM5 hingga RM25 sebulan.

Tiada paksaan, katanya, untuk ibu bapa menghantar anak-anak ke tabika elit kerana 10,900 tabika Kemas biasa masih beroperasi.

Kertas kerja katanya telah disiapkan dan akan diperincikan sebelum dibawa ke mesyuarat Kabinet untuk dinilai. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: