Jumaat, 18 September 2020

SPRM ambil fail teroka tanah di Raub

Suzalina Halid

Tanah hutan simpan di Raub diteroka secara haram untuk tanaman durian. FOTO NSTP

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah mengambil dokumen di beberapa agensi kerajaan bagi siasatan kes penerokaan tanah kerajaan yang dijadikan ladang durian secara haram di Raub, Pahang.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Azam Baki berkata, sehingga kini pihaknya sedang meneliti dokumen yang diambil dari Pejabat Hutan Daerah Raub serta Pejabat Tanah Daerah Raub untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, pihaknya perlu mengkaji dokumen terbabit kerana dakwaan harus dilihat daripada pelbagai sudut kemungkinan wujudnya elemen salah guna kuasa berhubung pencerobohan itu.

Sehingga semalam katanya, seramai 18 individu sudah dipanggil dan dirakam percakapan dan menjangkakan jumlahnya bertambah dari semasa ke semasa.

"Sebelum ini kita sudah panggil 14 individu yang mengusahakan tanah terbabit dan sehingga semalam, ia bertambah kepada 18 (individu) dan mungkin hari ini lebih lagi.

"Mereka yang dipanggil ialah yang terbabit dalam mengusahakan tanah (kerajaan) di Raub itu untuk kita mendapatkan maklumat mengenai beberapa perkara.

"Dokumen yang kita peroleh itu untuk dikaji kerana isu ini perlu dilihat dari semua sudut untuk diketahui perkara sebenar. Kita tidak boleh dengar dari sebelah pihak sahaja, " katanya.

Sebelum ini, sebahagian Hutan Simpan Gunung Benom, sekitar Sungai Ruan, Sungai Chalit serta Tranum dan Tras seluas kira-kira 4,400 hektar dibangunkan sebagai ladang durian haram sejak 40 tahun lalu.

Kegiatan itu menyebabkan kerajaan negeri kerugian hasil cukai sebanyak RM30 juta dalam tempoh 10 tahun.

Tiada ulasan: