Selasa, 29 September 2020

Selangor pula catat kluster baharu

 Oleh HASIF IDRIS

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan memaklumkan terdapat satu kluster baharu Covid-19 yang dikenal pasti di Selangor iaitu Kluster Jalan Apas.

Kes indeks bagi kluster itu adalah kes ke-10,782 dan kes ke-10,783 merupakan pasangan suami isteri rakyat tempatan yang mempunyai sejarah perjalanan ke Tawau dan Semporna, Sabah daripada 13 hingga 16 September lalu.

Kedua-dua kes indeks mula bergejala demam, batuk, dan selesema pada 18 September lalu yang kemudian mendapatkan rawatan di pusat perubatan pada 19 September lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pasangan itu dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada 24 September lalu dan didapati positif Covid-19 pada 26 September serta dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Hasil saringan kontak rapat mendapati enam lagi kes positif Covid-19 pada 27 September lalu dan sehingga kini, seramai 66 individu disaring. Daripada jumlah itu, lapan kes dikesan positif Covid-19 (enam kes baharu); 56 individu adalah negatif; manakala, dua individu masih menunggu keputusan.

“Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses pembersihan dan nyah kuman dijalankan di lokasi-lokasi yang terbabit. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya dalam laporan terkini Covid-19 di sini semalam.

NOOR Hisham Abdullah bercakap pada sidang akhbar selepas Majlis Program 7th Breast Care Nurse Meeting di Auditorium Institut Kanser Negara, di sini, hari ini.-UTUSAN/ FAISOL MUSTAFA

Beliau berkata, kes positif Covid-19 mencatatkan sedikit penurunan apabila 115 kes baharu dilaporkan berbanding 150 kes semalam.

Bagaimanapun, katanya, perkembangan terkini itu masih merekodkan tiga angka dengan 112 merupakan kes tempatan manakala tiga lagi adalah kes import yang mendapat jangkitan di India.  

Menurut Dr. Noor Hisham, kes penularan dalam negara melibatkan 98 kes rakyat tempatan dan 14 kes adalah bukan warganegara.

“Sabah mencatatkan penularan paling tinggi dengan 98 kes melibatkan Kluster Bangau-Bangau (46); Kluster Benteng Lahad Datu (39); saringan bergejala (8); Kluster Pulau (2); Kluster Buang Sayang (1); dan masing-masing satu kes bagi saringan petugas kesihatan serta saringan kontak rapat kes ke-11,022.

“Di Selangor berlaku 10 kes baharu, enam daripadanya daripada Kluster Jalan Apas dan empat kes saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi di Sabah. Kedah, Melaka, Terengganu dan Labuan masing-masing merekodkan satu kes baharu,” katanya. -UTUSAN

Tiada ulasan: