Sabtu, 19 September 2020

Putrajaya digesa benarkan pemandu ditahan guna telefon bimbit bayar denda

Mereka yang didapati menggunakan telefon bimbit ketika memandu boleh didenda 
sehingga RM2,000 atau dipenjarakan.

PETALING JAYA: Seorang ahli Parlimen pembangkang menggesa polis kembali kepada amalan membenarkan pesalah yang menggunakan telefon bimbit ketika memandu membayar denda berbanding mengheret mereka ke mahkamah.

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berkata, langkah itu boleh menjimatkan banyak masa dan sumber, jika pesalah dibenarkan membayar kompaun di balai polis.

“Penguatkuasaan perlu ketat. Bagaimanapun, mengarahkan pesalah tampil di mahkamah untuk menyelesaikan saman mereka agak kasar dan menimbulkan kesusahan tidak perlu,” katanya kepada FMT.

Rayer, yang juga peguam, berkata ramai yang akan menghadapi masalah membayar denda mahkamah dan mungkin dipenjarakan dalam keadaan sekarang.

RSN Rayer

Sebelum ini, kompaun maksimum ialah RM300.

Rayer berkata demikian susulan tindakan polis mengheret pesalah ke mahkamah mulai 6 Julai kerana menggunakan telefon bimbit ketika memandu. Kesalahan ini kini diketegorikan sebagai saman tidak boleh dikompaun dan perlu diselesaikan di mahkamah di bawah Kaedah 17A Kaedah-kaedah Lalulintas Jalan 1959 (LN166/59).

Mereka yang melakukan kesalahan itu boleh didenda sehingga RM2,000 atau 3 hingga 6 bulan penjara atau kedua-duanya.

Polis mengenal pasti sikap pemanduan teruk, keletihan dan penggunaan telefon bimbit sebagai punca utama kemalangan jalan raya.

Satu kajian yang diterbitkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya mendedahkan pemandu Malaysia cenderung menggunakan telefon bimbit di jalan raya, khasnya ketika berhenti di lampu isyarat dan kesesakan lalu lintas.

Tiada ulasan: