Jumaat, 18 September 2020

Projek KVDT2: Loke cabar PM deklasifikasi memorandum kabinet

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Bekas menteri pengangkutan, Anthony Loke mencabar sayap pemuda Bersatu untuk menggesa Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin mendeklasfikasikan memorandum kabinet berkenaan projek Landasan Berkembar Elektrik di Lembah Klang Fasa Dua (KVDT2).

Ini selepas ketua penerangan Pemuda Bersatu (Armada), Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir semalam mempersoalkan keputusan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini untuk memberikan projek itu melalui rundingan terus kepada Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd (DMIA) dengan kos RM4.475 bilion.

Mohd Ashraf mendakwa Loke telah mengumumkan kepada kabinet pada 19 Sept 2018, bahawa kerajaan akan dapat mengurangkan kos projek tersebut dari RM5.265 bilion kepada antara RM3 bilion hingga RM3.5 bilion sekiranya melalui proses tender terbuka tetapi akhirnya memilih rundingan terus.

Dalam sidang media semalam, Mohd Ashraf juga mempersoalkan dakwaan kehilangan RM1 bilion dalam projek itu.

"Saya mencabar Armada supaya mendesak perdana menteri yang juga Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk “declassify” semua Memorandum Jemaah Menteri (MJM) berkenaan projek KVDT2 supaya semua fakta dan latar belakang projek ini serta ulasan daripada Kementerian Kewangan, Kementerian Hal-Ehwal Ekonomi dan Jabatan Peguam Negara boleh diketahui dan dinilai oleh orang awam," kata Loke dalam satu kenyataan.

Mengenai isu rundingan terus, Loke menjelaskan kementerian pengangkutan dan kementerian kewangan pada masa itu telah mencadangkan agar projek itu ditender semula.

"Namun, majoriti ahli jemaah menteri berpendapat bahawa projek tersebut patut dianugerahkan semula kepada DMIA-LTAT JV kerana beberapa faktor seperti pengurangan kos yang dipersetujui sebanyak 15 peratus, risiko tindakan undang-undang oleh kontraktor terhadap kerajaan akibat pembatalan kontrak yang telah ditandatangani oleh kerajaan terdahulu, kepentingan LTAT dalam projek tersebut dan supaya projek tersebut boleh diteruskan tanpa kelewatan.

"Antara menteri yang paling lantang menyokong projek tersebut dianugerahkan semula kepada DMIA-LTAT JV ialah seorang menteri dari PPBM yang masih duduk dalam kabinet pada hari ini," katanya.

Loke berkata Kementerian Kewangan ketika diterjajui Lim Guan Eng telah secara konsisten mencadangkan agar projek tersebut melalui tender secara terbuka dalam semua ulasan mereka kepada jemaah menteri.

Tiada ulasan: