Jumaat, 18 September 2020

Portal bahasa Mandarin: Kenapa orang Cina sentiasa diberi pilihan?

Wartawan MalaysiaGazette
MGF11072019_PUTRA-LAPORAN-POLIS-HIMPUNAN-PEMBEBASAN-WANJI12-681x454
Khairul Azam Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memperkenalkan portal dalam bahasa Mandarin disifatkan sebagai tindakan tidak berpelembagaan serta bertentangan dengan dasar kerajaan.

Naib Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra), Mohd Khairul Azam Abdul Aziz menegaskan, tindakan ini menyebabkan orang Cina tidak melihat apa-apa keperluan untuk memahami, membaca dan menulis dalam bahasa kebangsaan kerana mereka sentiasa diberikan pilihan untuk menggunakan bahasa ibunda walaupun bagi maksud urusan rasmi kerajaan.

Menurutnya, adalah menyedihkan selepas 63 tahun merdeka, masih ada yang mengaku sebagai rakyat Malaysia tetapi tidak memahami pernyataan dalam bahasa kebangsaan sehingga terpaksa dibuat satu laman khas untuk mereka.

”Apa jadi dengan dasar Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa perpaduan dan penyatuan antara kaum di Malaysia?,” soalnya.

Tegas beliau, rakyat Malaysia tidak lagi boleh diberi pilihan bahasa melainkan menggunakan bahasa kebangsaan semata-mata bagi maksud rasmi.

Tambahnya, jika portal ini dibenarkan, maka tidak mustahil nanti akan terpaksa diwujudkan portal dalam bahasa Tamil, Telegu, Jawa, Iban, Kadazan dan Orang Sungai bagi membolehkan beratus etnik berbeza di Malaysia boleh memahami berkaitan perang membanteras rasuah.

Pastinya keadaan ini akan menambahkan jurang perbezaan yang memisahkan antara kaum di Malaysia kerana bahasa adalah alat komunikasi yang menyumbang kepada perpaduan negara.

Oleh itu, katanya, Putra mendesak SPRM agar menutup portal berkenaan dan kembali mengutamakan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi kerajaan sepertimana yang dikanunkan melalui Perlembagaan Persekutuan. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: