Ahad, 20 September 2020

PN utama usaha kurangkan kadar kemiskinan di Sabah dalam RMK12, kata Mustapa

KOTA KINABALU: Kerajaan Perikatan Nasional (PN) akan mengutamakan usaha untuk mengurangkan kadar kemiskinan di Sabah dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) bagi tempoh 2021 hingga 2025, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, untuk tujuan itu, kerajaan persekutuan telah menubuhkan Jawatankuasa Kabinet agar usaha tersebut lebih tersusun dan berkesan.

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang akan memberikan cadangan kepada Unit Perancang Ekonomi (EPU) mengenai langkah menangani kemiskinan.

“Merujuk kepada data Jabatan Perangkaan Malaysia kadar kemiskinan peringkat nasional adalah 5.6%, manakala negeri Sabah ialah 19.5%.

“Bermula tahun hadapan dalam RMK12, kita akan menggunakan maklumat terkini untuk merangka dasar bagi menangani masalah kemiskinan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mustapa berkata, data Jabatan Perangkaan juga mendapati daerah paling tinggi kadar kemiskinan di Sabah adalah Tongod, Pitas dan Kota Marudu yang mencatatkan kadar kemiskinan sekitar 50%.

Mustapa berkata, RMK12 yang akan dibentangkan di Parlimen pada awal tahun depan merupakan fasa pertama dalam usaha kerajaan mewujudkan gagasan baru melalui Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030.

WKB akan digunakan sebagai dasar untuk melaksanakan pembangunan sepanjang 10 tahun bermula tahun 2021-2030, katanya.

Tiada ulasan: