Jumaat, 25 September 2020

PKPD bersasar di Rumah Pangsa Tongkang Yard dilanjut hingga 7 Okt

Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD bersasar di Rumah Pangsa Tongkang Yard dilanjutkan 
hingga 7 Okt untuk membolehkan ujian saringan ke-2 dilakukan KKM.

PETALING JAYA: Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob mengumumkan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di daerah Kota Setar berakhir hari ini, tetapi PKPD secara bersasar di Rumah Pangsa Tongkang Yard di Seberang Perak, Kedah dilanjutkan sehingga 7 Okt.

PKPD secara secara pentadbiran di daerah Kota Setar bermula 11 Sept lalu dan Rumah Pangsa Tongkang Yard termasuk dalam daerah sama.

“Setakat 24 Sept, penilaian risiko yang dijalankan anggota Kementerian Kesihatan mendapati masih terdapat lokasi berisiko tinggi bagi penularan Covid-19 di daerah tersebut. Kawasan paling berisiko tinggi adalah di Rumah Pangsa Tongkang Yard,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, saringan ke atas 94 penduduk di Rumah Pangsa Tongkang Yard mendapati 9 orang daripada 5 unit positif Covid-19.

“Lanjutan tempoh ini diperlukan bagi tujuan membolehkan saringan ke-2 dilakukan KKM. Sekolah Kebangsaan Sungai Korok Lama juga akan ditutup bermula 26 Sept hingga 9 Okt.”

Katanya, anggota polis dan tentera akan membuat kawalan pergerakan di lokasi itu bagi memastikan semua penduduk mematuhi SOP dan perintah kuarantin di rumah.

Sementara itu, Ismail berkata, polis menahan 74 orang dikompaun dan 4 lagi direman atas pelbagai kesalahan mengingkari arahan perintah kawalan pergerakan pemulihan.

Antara kesalahan itu termasuk tidak memakai pelitup muka (23), keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan PKPD (18), aktiviti dalam pub dan kelab malam (12), gagal menyediakan peralatan rekod butiran diri (11), premis beroperasi tanpa kebenaran (8) dan penjarakan fizikal (3).

Katanya, 42 pendatang asing tanpa izin, 2 tekong dan 2 penyeludup turut ditahan dalam Operasi Benteng semalam, manakala 9 kenderaan dirampas.

Tiada ulasan: