Isnin, 14 September 2020

Pelajar positif dadah: iGuru gesa kaji aspek jati diri dalam pendidikan

Athirah Huda Zalhe

 

Ibu bapa perlu lapor kepada sekolah jika kesan anak terbabit dadah

BANGI – Sistem pendidikan sedia ada perlu menekankan aspek pembangunan sahsiah diri dan agama dalam kalangan pelajar sekolah, bagi mengelakkan mereka terbabit gejala negatif termasuk ketagihan dadah.

Perkara itu diusulkan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), susulan bimbang laporan mengenai pelajar sekolah menengah di Johor positif dadah.

Semalam, media melaporkan sebanyak 177 pelajar sekolah menengah di Johor dikesan positif dadah hasil ujian saringan air kencing dilaksanakan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Pengerusi Jawatankuasa Penyelidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata, jumlah itu dikesan hasil ujian saringan yang dijalankan terhadap 10,132 pelajar Tingkatan 4 dan Tingkatan 5 dari 280 buah sekolah seluruh negeri oleh AADK sejak awal tahun ini.

Bimbang dengan situasi itu, Presiden iGuru, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, kelompongan yang wujud dari sudut pengisian jati diri pelajar mendorong mereka terbabit perkara negatif. 

Justeru, iGuru menggesa pihak Kementerian Pendidikan (KPM) melihat segera aspek pembinaan jati diri sebagai elemen penting dalam proses pendidikan.

“Selain itu, kerjasama semua pihak termasuklah AADK, polis, ibu bapa dan sekolah amat penting bagi membendung gejala penagihan dadah.

“Gejala peningkatan ini menunjukkan sistem pendidikan sedia ada perlu menekankan aspek  pembangunan sahsiah diri dan penekanan keagamaan dalam diri pelajar sejak di usia awal persekolahan lagi,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Pada masa sama, Ustaz Mohd Azizee turut menyarankan ibu bapa supaya membantu pihak sekolah dengan membuat laporan sekiranya terdapat anak-anak yang mengambil dadah, dan hendaklah agresif memberi kesedaran mengenai bahaya dadah.

“Dari sudut lain juga, penguatkuasaan tegas dari sudut undang-undang juga perlu diberi perhatian supaya pelajar yang terlibat dikawal dan dikenakan hukuman yang setimpal,” katanya.

Tiada ulasan: