Selasa, 29 September 2020

Pejabat MP ditutup akibat kluster Klang

MALAYSIAKINI

 Malaysiakini

Ahli Parlimen Klang Charles Santiago memaklumkan bahawa pejabatnya akan ditutup mulai hari ini susulan seorang kakitanggannya mungkin mempunyai kontak rapat dengan kluster Covid-19.

"Pusat khidmat saya akan ditutup bermula 29 September sehingga diberirahu kelak.

"Seorang kakitangan kami mungkin dijangkiti daripada kluster baru di Klang.

"Semua kakitangan akan menjalani ujian Covid-19 pagi esok. Kami akan maklumkan perkembangan itu,” katanya dalam satu ciapan di Twitter.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengumumkan satu kluster baru Covid-19 dikesan di Klang.

Kluster Jalan Apas, yang setakat semalam mempunyai lapan kes, dibawa oleh pasangan (kes 10,782 dan kes 10,783) yang melawat Sabah.

Mereka melawat Tawau dan Semporna bermula 13 hingga 16 September dan mula menunjukkan tanda-tanda demam, batuk dan selsema pada 18 September. Ekoran itu, mereka mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan pada 19 September.

Pasangan itu kemudian dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang pada 24 September dan disahkan positif pada 26 September. Susulan itu, mereka dipindahkan ke Hospital Sungai Buloh.

Berikutan penemuan itu, usaha mengesan kontak rapat dijalankan pada 27 September yang mendapati seramai enam lagi individu disahkan positif Covid-19.

Enam individu itu adalah termasuk dua pelajar sekolah menengah yang adalah adik-beradik seorang daripada individu kes indeks.

Kedua-dua pelajar berkenaan adalah dari SMK Pandamaran Jaya di Pelabuhan Klang.

Menurut Jabatan pendidikan Selangor, bilik darjah mereka telah disembur cecair pembasmi kuman dan sesi persekolahan berjalan seperti biasa.

Tiada ulasan: