Rabu, 16 September 2020

Pasangan Malaysia didenda RM7,200 langgar peraturan Covid-19 di Australia

Majistret mendenda Mohammad Hashim dan isterinya, Fadline Rasani 
A1,200 setiap seorang kerana melanggar peraturan Covid-19 selepas 
menyeberang Victoria ke New South Wales, Australia secara haram. (
Gambar AFP)

PETALING JAYA: Sepasang suami isteri Malaysia yang memasuki New South Wales dari Victoria secara haram untuk mencari pekerjaan didenda A$1,200 (kira-kira RM3,600) setiap seorang kerana gagal mematuhi peraturan Covid-19.

Australian Broadcasting Corporation (ABC) melaporkan Mohammad Hashim, 28, dan isterinya, Fadline Rasani, 26, ditahan pada akhir bulan lalu selepas polis menerima maklumat Fadline bersalin di Hospital Coffs Harbour, kira-kira 520km dari Sydney baru-baru ini.

Menurut laporan itu, pasangan terbabit yang membawa bersama bayi baru lahir mereka ke mahkamah, mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.

Ia memetik Majistret Ian Rodgers sebagai berkata, kes warganegara Malaysia itu menonjolkan kesukaran yang mereka hadapi ketika penularan pandemik.

Bagaimanapun katanya, walaupun menyedari “keadaan kewangan mendesak” mereka, beliau perlu menghantar mesej kuat mengenai pematuhan peraturan Covid-19.

Terdahulu, mahkamah diberitahu Hashim dan Fadline, yang tiba di Australia Januari lalu dengan visa kerja sementara, diusir dari rumah sewa mereka dan hilang pekerjaan di Victoria.

Pasangan itu cuba ke Coffs Harbour dalam cubaan terakhir untuk bekerja sebagai pemetik blueberry.

ABC melaporkan, mereka menghantar wang ke Malaysia untuk 2 anak, berusia 2 dan 8 tahun, yang dijaga saudara.

Ia melaporkan ketika prosiding di mahkamah, pendakwa raya Sergeant Heidi Warren berhujah kesalahan pasangan itu lebih serius daripada denda serta-merta A$1,000 kerana melanggar peraturan Covid-19 di NSW.

Hukuman maksimum kerana gagal mematuhi peraturan Covid-19 ialah hukuman penjara 6 bulan atau denda A$11,000.

Warren memberitahu mahkamah, Hashim dan Fadline berbohong mengenai permohonan pas sempadan mereka untuk mendapatkan kerja di NSW.

Katanya, terdapat satu “tahap perancangan” untuk perjalanan ke Coffs Harbour secara haram selepas rancangan mereka untuk bekerja di sebuah ladang di Riverina, NSW tidak berjaya.

Beliau berkata, pasangan itu terpaksa menggunakan lebih banyak wang di Hospital Coffs Harbour kerana Fadline perlu diasingkan akibat risikonya dijangkiti Covid-19.

Menurut laporan itu, peguam Hashim dan Fadline memberitahu mahkamah, mereka tidak mampu membayar denda tinggi kerana pendapatan Hashim hanya “sekali-sekala”, iaitu kira-kira A$340 seminggu dengan memetik blueberry.

Katanya, pasangan itu yang dibantu seorang pekerja selepas bersalin di mahkamah, memerlukan penjagaan pakar bagi bayi mereka untuk menjalani pembedahan komplikasi kelahiran.

Tiada ulasan: