Isnin, 21 September 2020

Pasang besar: Lima kawasan Kuala Selangor dinaiki air

Oleh ABDUL RAZAK IDRIS
AIR laut melimpah di Pantai Kelanang, Selangor akibat fenomena air pasang besar.

KUALA SELANGOR: Lima kawasan di daerah ini mencatat paras air melebihi had kebiasaan berikutan fenomena air pasang.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat negeri, Hafisham Mohd. Noor berkata, kawasan tersebut ialah Bagan Sungai Buluh, Pantai Jeram, Pantai Remis dan Bagan Sungai Janggut.

“Air pasang berlaku dari pukul 6.39 hingga pukul 8 pagi tadi. Air naik melebihi had kebiasaan iaitu kira-kira 0.3 meter atau sehingga buku lali.

“Bagaimanapun, tiada kejadian serius cuma menghalang lalu lintas kedua-dua hala kira-kira satu kilometer dan air pasang surut secara berperingkat,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, air laut di Pantai Kelanang dan Pantai Morib di sini mula melimpahi kawasan daratan sejak fenomena air pasang besar bermula Jumaat lalu.

Penyelaras Skuad Pantas Majlis Perbandaran Kuala Langat, Miskon Karim berkata, berlaku kenaikan aras air laut setinggi 5.6 meter di pantai tersebut pada pukul 7.53 pagi.

“Semalam aras air laut naik hingga 5.7 meter tetapi tidak melimpah ke daratan. Beberapa pokok ru di tepi laut telah tumbang.

“Pagi ini walaupun aras air laut menurun dan kurang angin bertiup, namun air telah melimpah di sebelah kawasan pantai ini,”katanya.

Tambah Miskon, kira-kira 10 anggota Pantas memantau sebarang perubahan di sepanjang Pantai Cunang, Batu Laut, Tanjung Sepat, Pantai Kelanang dan Pantai Morib.

Fenomena air pasang dilaporkan berlaku di Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam dan dijangka berada pada tahap maksimum iaitu 5.8 meter.

Unit Pengurusan Bencana Negeri menjangka kejadian itu berlaku antara pukul 5 hingga 8 pagi pada 19 dan 20 September, 17 hingga 19 Oktober serta 15 dan 16 November. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: