Sabtu, 19 September 2020

MB Kedah, 55 individu buat ujian Covid-19

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor tidak termasuk dalam senarai 
kontak rapat dengan individu yang disahkan positif itu.

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor bersama 55 individu menjalani ujian saringan hari ini selepas seorang daripada individu yang disahkan positif Covid-19 kelmarin, hadir sama dalam program penyerahan bantuan di Wisma Darul Aman pada 14 September lalu.

Pejabat menteri besar Kedah dalam kenyataan hari ini berkata, 2 exco Mohd Hayati Othman dan Wan Romani Wan Salim turut menjalani ujian itu selain kakitangan pejabat menteri besar dan beberapa pimpinan PAS Kedah.

“Pengarah Kesihatan Kedah Dr Mohd Fikri Ujang berkata, sampel ujian itu dihantar ke makmal di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar dan keputusan dijangka diperoleh esok.

“Beliau turut menjelaskan menteri besar tidak termasuk dalam senarai kontak rapat dengan individu yang disahkan positif itu,” kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, pengarah kesihatan menjelaskan definisi kontak rapat bagi kes Covid-19 adalah individu yang berada dalam jarak 1m atau lebih dekat lagi dalam masa 15 minit.

Katanya, tidak ada halangan bagi Sanusi untuk turun padang menjalankan tanggungjawab perlu beliau selaku menteri besar membantu penduduk dalam kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) Kota Setar atau Zon Melur di Ambangan Heights, Sungai Petani.

“Begitu juga bagi 55 individu lain yang menjalani ujian saringan hari ini kerana ujian itu sekadar ‘community test’ atau ‘surveillance test’ yang tidak menyebabkan mereka perlu dikenakan kuarantin atau dipakaikan gelang merah jambu,” katanya.

Tiada ulasan: