Isnin, 14 September 2020

Mangsa banjir dipindah

 Oleh MOHD HAFIZ ABD MUTALIB

AHLI Dewan Undangan Negeri Pauh, Rozieana 
Ahmad (tengah) meluangkan masa melawat rumah 
mangsa banjir sebelum mereka dipindahkan di 
Arau, Perlis kelmarin. – UTUSAN/MOHD. 
HAFIZ ABD. MUTALIB

ARAU: Nur Hijrah Harun, 23, sepatutnya menamatkan tempoh berpantang kelmarin.

Namun, kegembiraan ibu muda itu terencat selepas dia bersama keluarganya terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan di Dewan Sivik di sini malam kelmarin, selepas rumah mereka di Kampung Titi Besi dinaiki air berikutan hujan lebat, kelmarin.

Katanya, rumah mereka mula dinaiki air sejak lewat petang sehingga paras lutut dan sebelum keadaan bertambah buruk mereka berpindah ke pusat pemindahan.

“Apabila air mula naik, kami sedikit kelam kabut dengan anak kecil menangis. Ibu pula hanya berkerusi roda. Kami terpaksa meredah air sehingga paras lutut sebelum dibantu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia pindah ke pusat pemindahan ini. Ketika meredah banjir itu, kaki saya kejang namun terpaksa terus berjalan.

“Saya baru habis berpantang dua hari lalu, namun terpaksa pula menempuh banjir selain terpaksa bermalam di sini (pusat pemindahan),” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Hujan lebat yang berterusan sejak petang kelmarin menjejaskan Kampung Titi Besi, Jelempok, Kampung Sena, Kampung Paloh, Kampung Guring Tengah, Pauh dan beberapa buah kampung lagi.

Dalam pada itu, seramai 20 penduduk membabitkan enam keluarga dari Kampung Titi Besi, Guar Sanji dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Dewan Sivik di sini.

Selain itu, beberapa kawasan seperti Kampung Guring Tengah dan Pauh turut terjejas dengan banjir, bagaimanapun penduduk yang terlibat masih enggan berpindah kerana beranggapan keadaan masih ter­kawal. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: