Ahad, 27 September 2020

K'jaan tak bercadang sediakan tong sampah khas untuk pelitup muka

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Kementerian Alam Sekitar dan Air tidak berhasrat memperkenalkan tong sampah khas bagi membuang pelitup muka, kata menterinya, Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bagaimanapun Tuan Ibrahim meminta orang ramai supaya membuang pelitup muka di tempat sepatutnya.

Jelas Tuan Ibrahim, pelitup muka yang digunakan oleh individu yang bukan pesakit Covid-19 tidak dikira sebagai sisa klinikal.

“Kementerian tiada cadangan untuk menyediakan tong sampah khas untuk pelitup muka.

“Bagaimanapun, kami ingin menggesa pengguna menggunting tepi pada pelitup muka sebelum membuangnya agar tidak tersangkut pada binatang,” katanya seperti dipetik daripada laporan The Malaysian Insight.

Sejak 1 Ogos lalu, pemakaian pelitup muka di kawasan sesak diwajibkan susulan peningkatan jumlah individu yang ingkar prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Keingkaran itu menyebabkan kenaikan kes positif Covid-19, jelas Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob.

Individu yang gagal mematuhi arahan itu bakal dikenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Beberapa NGO alam sekitar, seperti Sahabat Alam Malaysia, menggesa kerajaan memperkenalkan kemudahan khas bagi membuang pelitup muka terpakai yang dilihat berpotensi membahayakan kesihatan.

“Seperti kita asingkan kertas, plastik dan gelas, kita perlu ada kemudahan khas dan tong sampah untuk pelitup muka.

“Bagaimanapun, kita tidak seharusnya mengalakkan penggunaan pelitup muka sekali guna atau dari plastik yang tidak boleh dikitar semula.

“Memandangkan wabak Covid-19 telah melanda dan penggunaan pelitup muka di kawasan awam adalah wajib, sudah tiba masa kita cari jalan penyelesaikan dengan menggantikan pelitup muka sekali guna dengan yang boleh digunakan berulang kali,” katanya seperti dipetik laporan The Star.

Tiada ulasan: