Sabtu, 19 September 2020

Kita di akhir zaman

HARAKAH DAILY

SEBENTAR tadi dua Kerajaan Arab iaitu UAE dan Bahrain baru sahaja merasmikan hubungan diplomatik dengan rejim haram Zionis Israel. Tragedi ini ibarat permulaan akhir zaman yang dijanjikan Allah dan Rasul sejak sekian lama.

Saat ini, syurga kini dianggap sebagai neraka, manakala neraka pula dianggap sebagai syurga. Begitulah analogi tindakan UAE dan Bahrain yang melihat hubungan dengan rejim Zionis sebagai jalan ke ‘syurga’, manakala perjuangan membela maruah dan hak Palestin ibarat jalan ke ‘neraka’.

Dalam Perjanjian ‘Abraham Accord’ ini, Menteri Luar UAE Sheikh Abdullah bin Zayed al Nahyan dan Menteri Luar Bahrain Abdullatif al Zayani telah menandatangani normalisasi hubungan diplomatik dengan Israel di Rumah Putih tajaan Presiden Amerika Donald Trump bersama-sama Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu.  

Hakikatnya, kita tidak perlu berputus asa dengan janji Allah jika pun seluruh pemimpin Dunia Arab bertindak meninggalkan Palestin bersendirian dan menjalinkan hubungan dengan Israel.  

Malah, segala yang terjadi hari ini sebenarnya menepati janji-Nya bahawa menjelang akhir zaman kelak, Yahudi akan berkuasa dan berpengaruh – dengan kemuncaknya Dajal akan muncul beraja berhampiran Asia Barat.  

Allah dan Rasul menegaskan bahawa di akhir zaman nanti hanya ada dua kumpulan: satu ialah umat Islam yang beriman dan bersama-sama angkatan Imam Mahdi keturunan Rasulullah S.A.W. manakala satu lagi ialah kumpulan Dajal, Yahudi, dan para penyokong yang mengikut mereka. 

Kemuncaknya Nabi Isa akan kembali mengalahkan Dajal di Baitulmaqdis yang hari ini dijajah rejim Zionis Israel – terkini dengan sokongan UAE dan Bahrain.

Ternyata hari ini isu penjajahan Zionis ke atas bumi Palestin dan tempat suci ketiga umat Islam sejak berdekad lamanya bukanlah masalah besar bagi pemimpin UAE dan Bahrain. 

Mereka lebih utamakan restu Washington dan reda Tel Aviv. UAE lebih berminat mengampu Amerika untuk membeli pesawat pejuang F-35 biar pun masih dibantah Israel. Bahrain lebih takutkan Iran – seperti mana majoriti rakyatnya sendiri – yang berpegang dengan doktrin Syiah, berbanding murka Allah kepada hamba yang bersekongkol dengan pembunuh dan penjajah saudara Islam mereka sendiri. 

Pemimpin UAE dan Bahrain tentunya mengetahui apa yang terjadi kepada Palestin selepas menandatangani Perjanjian Oslo pada tahun 1993. Janji keamanan dan perdamaian hanyalah helah Zionis untuk menjinakkan pemimpin Arab yang buta percaturan geopolitik: Gaza terus dikepung, Tebing Barat tidak pernah aman dan stabil untuk jangka masa yang lama.  

Pemimpin UAE dan Bahrain tidak buta dan tidak tuli. Tetapi ternyata mereka sengaja membutakan mata dan memekakkan telinga dengan rekod pembunuhan dan penjajahan Zionis. Seperti mana Fatah dahulu dicucuk hidung untuk melaga-lagakan umat Islam dengan Islamis Hamas, begitulah UAE dan Bahrain saat ini yang lebih takutkan pengaruh Ikhwan Muslimin, Turki, dan Iran.  

Tanpa berselindung, Netanyahu menyatakan bahawa negara-negara Arab yang lain bakal mengikut jejak langkah UAE, Bahrain, Mesir, dan Jordan mengiktiraf rejim Zionis itu.

Bagi Donald Trump, peristiwa 15 September ini tentulah bakal melonjakkan sokongan kepada beliau menjelang Pilihan Raya Presiden Amerika pada 3 November ini – khususnya dalam kalangan pengundi Evangelis Kristian pro-Israel.  

Setakat ini, Trump telah melakar pelbagai siri ‘kejayaan’ besar bagi penyokong Zionis; pada tahun 2017, Amerika bertindak mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan kemudiannya memindahkan Kedutaan Amerika ke sana.  

Awal tahun ini pula, Trump mengiktiraf peta Israel di bawah pelan ‘Deal of the Century’ – tindakan yang kemudiannya mengundang respon balas Palestin dengan memansuhkan keseluruhan perjanjian dengan Amerika dan Israel.

Maka kita sebagai umat Islam yang beriman tidak perlu bersedih dengan tindakan UAE dan Bahrain ini – marah dan kecewa itu wajib, tetapi bukan berputus asa.  

Sebaliknya, kita wajib berpegang teguh dengan ijmak (kesepakatan) para ulamak dalam memacu dasar politik mahu pun geopolitik kita – sesungguhnya para ulamak ialah pewaris Nabi.

Janganlah ada antara kita yang termakan hasutan untuk berdamai dengan Israel dalam keadaan pembunuhan, pengeboman, dan penjajahan ke atas bumi Palestin masih berlangsung saban hari.

Berpeganglah dengan firman Allah S.W.T dalam Surah As-Saf ayat 4:

 “Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berjuang untuk membela agama-Nya dalam saf yang tersusun rapi seolah-olah sebuah bangunan yang kukuh.”

 Bukan berjuang untuk jawatan. Bukan berjuang untuk wang.

* ABDUL MUEIN ABADI - Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: