Selasa, 15 September 2020

Kerajaan syor heret pemilik kelab malam ke mahkamah, tarik balik lesen

Setiap hari tangkapan melibatkan aktiviti di kelab malam dan 
pub tinggi kerana premis ini masih tersenarai dalam senarai 
dilarang beroperasi disebabkan sukar untuk mengawal penjarakan 
fizikal dan prosedur operasi standard (SOP) lain. (Gambar 
Bernama)

KUALA LUMPUR: Polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) disyorkan mengambil tindakan lebih tegas terhadap pemilik pub dan kelab malam yang beroperasi ketika perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP) termasuk mengheret mereka ke mahkamah dan menarik balik lesen operasi.

Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata, ini memandangkan kesalahan ingkar PKPP melibatkan aktiviti di pub dan kelab malam terus merekodkan kesalahan tertinggi walaupun premis itu masih dalam senarai larangan beroperasi.

“Setiap hari tangkapan melibatkan aktiviti di kelab malam dan pub tinggi kerana premis ini masih tersenarai dalam senarai yang dilarang beroperasi disebabkan sukar untuk mengawal penjarakan fizikal dan prosedur operasi standard (SOP) yang lain.

“Saya sudah minta PBT kalau premis ini ada lesen kita minta agar lesen mereka ditarik dan tutup perniagaan…mungkin tindakan lebih keras boleh diambil dengan hadapkan mereka ke mahkamah untuk hukuman lebih berat seperti penjara,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan kad aku janji pematuhan SOP Covid-19 sempena kempen Bulan Kebangsaan Perbadanan Nasional (PNS) hari ini.

Katanya, setakat ini belum ada perbincangan untuk membenarkan kelab malam dan pub kembali beroperasi.

Mengenai pemeriksaan pematuhan SOP premis perniagaan, Ismail berkata berdasarkan laporan harian yang diterima didapati tiada tangkapan dilakukan terhadap premis perniagaan berhubung pelanggaran SOP.

“Setakat hari ini, tidak banyak premis perniagaan diambil tindakan cuma ada yang berniaga lebih masa tetapi tiada tangkapan dilakukan maka saya anggap tiada tangkapan tentulah pematuhan dilaksanakan.

“Bagaimanapun, ramai yang masih keliru dari segi kedudukan di meja makan, setiap individu yang duduk di meja makan itu mesti ada penjarakan fizikal tidak kiralah besar mana meja tersebut,” katanya.

Tiada ulasan: