Isnin, 14 September 2020

Kerajaan perlu campur tangan bantu pekebun kecil getah, kata aktivis

Aktivis berkata, jurang keuntungan antara pekebun kecil dan 
penoreh getah dengan pengilang produk getah semakin melebar.

PETALING JAYA: Seorang aktivis mendakwa pekebun kecil tidak merasa keuntungan berganda yang diraih pengilang susulan permintaan tinggi terhadap produk getah seperti sarung tangan ketika pandemik Covid-19.

Nur Fitri Amir Muhammad, yang juga penyelidik mengenai kebajikan pekebun kecil tempata, berkata, kerajaan perlu melaksanakan intervensi menyeluruh sebagai langkah mengimbangkan semula perkongsian ekonomi dalam industri itu yang majoritinya terkesan daripada pasaran terbuka.

“Kerajaan mesti bertindak untuk memperbaiki ekosistem industri getah yang tidak seimbang sama ada dari sudut kebajikan pekebun dan penoreh kecil serta pekerja ladang getah atau isu kebergantungan bahan mentah getah asli pada negara luar.

“Ini kerana industri getah Malaysia sebenarnya banyak bergantung pada negara asing, terutamanya Thailand dan Vietnam,” katanya.

Nur Fitri Amir Muhammad

Beliau berkata, 5 jutawan lahir daripada sektor pembuatan produk getah, terutama sarung tangan dan alatan perubatan ketika wabak itu sedang menular, seperti dilaporkan Bloomberg.

Fitri mengakui secara logiknya keuntungan bagi pengeluar bahan mentah (pekebun kecil) dan pengeluar produk (pengilang) terdapat perbezaan, namun jurangnya semakin ketara ketika Covid-19.

“Sepatutnya kedua-duanya meningkat pada kadar yang setara pada ketika ini. Sewaktu Covid-19, harga getah jatuh sehingga RM1.80 daripada sekitar RM2.50 sebelum wabak,” katanya kepada FMT.

Fitri berkata, pengeluaran dalam negara sebanyak 673,513 tan setahun tidak mencukupi menyebabkan Malaysia menjadi pengimport getah asli ke-3 terbesar di dunia iaitu sebanyak 930,333 tan setahun selepas China dan Amerika Syarikat (AS).

Ini walaupun negara ini adalah pengeksport produk getah ke-4 terbesar di dunia dengan jumlah eksport 1.017 juta tan setahun.

“Ini kerana majoriti getah mentah yang dihasilkan dalam negara adalah dalam bentuk skrap (beku) yang akan diproses menjadi blok getah dipanggil Standard Malaysian Rubber (SMR). Ia tidak seimbang dengan pengeluaran getah lateks yang harganya lebih mahal di pasaran,” katanya.

Pengeluaran lateks berkurangan kepada 40,000 tan setahun ketika ini sedangkan keperluannya meningkat setiap tahun.

Ini menyebabkan negara terpaksa mengimport 300,000 tan lateks setiap tahun dengan 99.8% daripadanya dari Thailand.

“Sedangkan Malaysia adalah pengeluar terbesar sarung tangan getah perubatan, nitrile butadiene rubber (NBR) dan kondom.”

Fitri berkata, dengan keuntungan berganda industri hiliran getah, telah tiba masanya kerajaan menaikkan cukai cess – cukai terhadap setiap produk getah yang dieksport kepada jumlah yang lebih berpatutan, sekali gus mencari jalan bagi mengelakkan cukai itu dibebankan kepada pekebun.

Jelasnya, cess yang dikumpul oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan Risda dibebankan ke atas pekebun melalui potongan harga di kilang pemprosesan.

“Ini bermakna bantuan tanaman semula dan baja bukanlah subsidi, tetapi kutipan daripada pekebun sendiri, malah penyelidikan dan pembangunan yang dilakukan oleh LGM melalui kutipan ini pula kebanyakan adalah untuk industri hiliran,” katanya.

Baru-baru ini juga, kerajaan menerusi Majlis Getah Malaysia (MRC) mengumumkan beberapa inisiatif untuk mempergiatkan aktiviti ekonomi berasaskan getah.

Antaranya subsidi dana RM20 juta untuk automasi dan teknologi hijau, RM3 juta untuk dana Hubungan Industri, RM36 juta untuk mendorong syarikat hiliran getah mengambil lebih banyak pekerja tempatan.

“Namun, tidak ada apa-apa untuk pekebun dan penoreh. Paling kurang pun, berilah biasiswa pelajaran khas kepada anak-anak pekebun dan penoreh,” katanya.

Mengenai usaha mengurangkan kebergantungan negara pada sumber getah import, Fitri berkata, pekebun dan penoreh juga mesti diberi latihan dan kemahiran mengendalikan lateks dengan lebih efisyen.

Selain itu, infrastruktur dan alatan yang berkaitan mesti disediakan untuk menggalakkan pengeluaran lateks tempatan.

Dalam pada itu katanya, kerajaan perlu mewajibkan syarikat yang menerima insentif industri hiliran untuk membeli getah asli daripada pekebun tempatan dan mengawal penggunaan getah asli import untuk membantu industri getah peringkat huluan.

“Jika tiada usaha menyeluruh ke arah ini, makin ramai yang akan meninggalkan penanaman getah dan beralih kepada tanaman lain yang lebih menguntungkan.

“Lebih memburukkan lagi apabila negara seperti Thailand dan Vietnam menghalang getah asli mereka dieksport, sudah tentu ia akan mematikan industri getah kita sendiri,” katanya.

Tiada ulasan: