Sabtu, 19 September 2020

Kebakaran rumah, warga emas ditemui rentung

Bernama

 logo-bomba-681x915

BUTTERWORTH – Seorang lelaki warga emas ditemukan rentung di dalam sebuah bilik tingkat atas rumah dua tingkat di Lorong Laksamana, Taman Telok Molek, di sini selepas kediaman itu musnah dalam kebakaran awal hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Noorzainy Mohd Noor berkata, mayat Azali Saad, 64,  ditemukan dalam bilik yang disewanya di rumah itu pada kira-kira pukul 6.30 pagi.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal bomba, kebakaran bermula dari sebuah bilik bahagian atas rumah sebelum merebak kerana bahagian atas rumah itu diperbuat dari kayu, menyebabkan api merebak dengan pantas, dan menurutnya punca kebakaran masih dalam siasatan.

“Arwah menyewa sebuah bilik di situ, dan terdapat dua bilik lain yang turut disewa penyewa di rumah itu namun mereka sempat menyelamatkan diri sebaik menyedari berlaku kebakaran berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Katanya, mayat yang ditemukan dalam keadaan rentung itu telah dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk di bedah siasat.

Noorzainy berkata, dua penyewa lain termasuk seorang wanita bersama anaknya turut dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk pemeriksaan lanjut.

Sementara itu jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, ketika jentera bersama anggota dari Balai Bomba Penyelamat Butterworth tiba, api sedang marak, dengan bahagian atas rumah itu telah terbakar lebih 70 peratus.

“Pihak bomba menjalankan operasi pemadaman dan mengawal supaya api tidak merebak ke rumah lain, dan kami dimaklumkan terdapat seorang penghuni di sebuah bilik tingkat atas terperangkap, tidak sempat menyelamatkan diri semasa kebakaran.

“.. semasa ditemui di dalam bilik, lelaki itu didapati telah meninggal dunia,” katanya.

Katanya, sembilan jentera bersama 50 pegawai dan anggota bomba dibantu Pasukan Bomba Sukarela terlibat dalam operasi pemadaman, dengan kebakaran dapat dikawal pada pukul 7.15 pagi, dan api dipadamkan sepenuhnya kira-kira 15 minit kemudian. – Bernama

Tiada ulasan: