Sabtu, 26 September 2020

Kawasan hutan simpan jadi lokasi kumpul daun ketum

 Oleh ZAID MOHD NOOR

  HASANUDDIN Hassan (kanan) menunjukkan sebahagian daun ketum yang dirampas di kawasan Hutan Simpan Sungai Badak, Bukit Kayu Hitam, Kubang Pasu, Kedah hari ini.

KUBANG PASU: Polis berjaya membongkar satu sindiket penyeludupan daun ketum yang menjadikan kawasan Hutan Simpan Sungai Badak di Bukit Kayu Hitam di sini sebagai lokasi pengumpulan daun terlarang itu sebelum diseludup ke Thailand.

Kegiatan itu terbongkar selepas polis melakukan serbuan di kawasan tersebut yang terletak kira-kira 500 meter dari sempadan Malaysia dan Thailand pada pukul 11 pagi semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan memberitahu, berdasarkan maklumat, hasil serbuan itu polis menemui longgakan daun ketum dalam tiga buah pondok terbuka berbumbungkan kain kanvas dan plastik yang dijadikan tempat pengumpulan daun tersebut.

“Kesemua daun ketum yang telah siap dibungkus dengan plastik lutsinar itu seberat 1,300 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM13,000,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya, anggota polis melakukan pemantauan di lokasi tersebut selama enam jam, namun tidak ada sesiapa yang mengambil daun ketum berkenaan.

Menurut Hasanuddin, lokasi pondok itu terletak jauh di kawasan hutan simpan iaitu kira-kira 10 kilometer dari jalan utama dan ia hanya boleh dilalui oleh motosikal.

“Setakat ini, kita telah membawa turun sebanyak 15 guni berisi daun ketum manakala kira-kira 80 guni lagi dalam proses untuk dibawa turun,” ujarnya.

Katanya, harga pasaran tempatan bagi daun ketum adalah antara RM10 hingga RM15 sekilogram manakala di Thailand boleh mencecah sehingga RM50 hingga RM60 sekilogram.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952. – UTUSAN

Tiada ulasan: