Rabu, 23 September 2020

Jual pelitup muka RM1.50, kena denda RM20,000

Oleh KHAIRUL MOHD ALI 
 
Banyak penipuan berhubung pembelian pelitup muka dan hidung.

JOHOR BAHRU: Gara-gara menjual pelitup muka tiga lapisan pada harga RM1.50 seunit, sebuah pasar raya di Kulai dikompaun RM20,000.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor dalam kenyataan berkata, pihaknya mengambil tindakan susulan aduan orang awam yang membeli pelitup muka tersebut lebih mahal daripada ditetapkan kerajaan iaitu RM1 seunit. 

“Kerajaan menetapkan harga pelitup muka tiga lapisan iaitu RM1 seunit manakala pelitup muka dua dan satu lapisan masing-masing RM0.20 dan RM0.15 seunit. 

“Pelitup muka N95 ditetapkan pada harga RM6 seunit,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 174 aduan diterima melibatkan penjualan pelitup muka mahal dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Sebanyak 3,712 pemeriksaan dilaksanakan melibatkan rangkaian kedai ubat, farmasi serta premis menjual pelitup muka di negeri ini,” jelas kenyataan itu.

Mengikut kenyataan itu lagi, KPDNHEP setakat  ini telah mengeluarkan kompaun RM64,500 melibatkan empat kesalahan berkaitan peniaga tidak meletakkan tanda harga manakala enam kes melibatkan peniaga menjual barangan terkawal melebihi harga ditetapkan. – UTUSAN

Tiada ulasan: