Ahad, 27 September 2020

Isu kekurangan pekerja ladang tak berkesudahan

Masalah kekurangan tenaga kerja dalam sektor perladangan Malaysia bagaikan tidak berpenghujung terutamanya dalam sektor industri kelapa sawit meskipun pelbagai usaha telah diambil oleh syarikat-syarikat terbabit dan pihak berkuasa demi menjaga kepentingan hampir setengah juta pekebun kecil.

Menurut data industri, 75 peratus pekerja dalam sektor minyak sawit adalah tenaga kerja asing dan pada masa ini, terdapat kekurangan sekitar 37,000 pekerja dalam industri berkenaan yang boleh memberi kesan kepada pengeluaran buah tandan segar (FBB) sebanyak 25 peratus.

Ketika usaha giat dilaksanakan bagi mengakhiri kebuntuan ini, penularan COVID-19 menyebabkan keadaan kembali kepada asal. Bukan sahaja industri tidak dapat membuat sebarang rancangan untuk menyelesaikan masalah ini tetapi juga tidak boleh membawa masuk jumlah pekerja asing yang diperlukan kerana sempadan telah ditutup.

Keadaan menjadi lebih teruk apabila warga tempatan sendiri menjauhkan diri daripada industri ini sejak bertahun-tahun lamanya kerana pekerjaan di ladang dianggap sebagai pekerjaan 3D -- dirty (kotor), difficult (sukar) dan dangerous (bahaya). Malah sesetengah orang menyifatkannya “menjatuhkan martabat”.

Malah, syarikat-syarikat perladangan telah meminta bantuan pihak penjara dan pusat-pusat pemulihan bagi mendapatkan penduduk tempatan untuk bekerja di ladang, tetapi sambutannya begitu hambar.

Tiada jalan pintas

“Tiada jalan pintas untuk menyelesaikan masalah ini dan tiada dasar optimum bagi menanganinya,” demikian menurut pemilik dan pengasas bersama Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa yang berpangkalan di Singapura.

Malaysia secara strukturnya bergantung kepada tenaga kerja asing terutamanya pekerja berkemahiran rendah dan berkos rendah, dan ini bukan hanya dalam sektor pertanian tetapi di keseluruhan pelbagai sektor, kata beliau kepada Bernama.

Tetapi, menurut Sathia, masalah ini lebih meruncing dalam sektor kelapa sawit kerana ia terlalu bergantung kepada tenaga kerja asing dan oleh itu, ia mengambil masa yang lama untuk membetulkannya.

“Ia adalah isu struktur dan tiada jumlah insentif yang boleh membantu menyelesaikannya,” tegas beliau.

Mengulas lanjut, Sathia berkata Malaysia terjebak dalam perangkap pendapatan pertengahan yang telah berkembang pesat daripada ekonomi berpendapatan rendah kepada ekonomi berpendapatan tinggi.

“Untuk ekonomi berpendapatan tinggi, negara perlu menjana lebih banyak pekerjaan dengan nilai tambah yang tinggi -- pekerjaan itu mestilah berkemahiran dan perlu ada pelaburan besar untuk meningkatkan kepakaran/kemahiran serta inovasi dalam produktiviti.

“Bagi industri minyak kelapa sawit, ini tidak banyak berlaku dan mungkin banyak penyebabnya. Walaupun terdapatnya teknologi, penggunaannya tidak begitu meluas,” katanya.

Sathia berkata Indonesia mempunyai populasi yang sangat besar tetapi jumlah pekerjaan yang tersedia pula terlalu rendah.

Sehubungan itu, kerajaan Indonesia telah membenarkan rakyatnya mencari peluang pekerjaan di luar negara dan Malaysia adalah antara destinasi memandangkan jaraknya yang dekat. Mereka sama ada menjadi pembantu rumah atau pekerja berkemahiran rendah di sini.

“Mereka rajin bekerja dan datang dari industri yang sama (perladangan) serta merupakan antara pekerja perladangan terbaik di dunia. Malaysia akan sentiasa dibanjiri oleh pekerja Indonesia ... melainkan sekiranya kerajaan Indonesia memutus untuk berbuat sesuatu mengenainya”.

Sebaliknya, Indonesia pula tidak berhadapan dengan isu kekurangan pekerja kerana jumlah penduduknya yang ramai dan di dua kawasan utamanya yang menanam kelapa sawit -- Sumatera dan Kalimantan -- tiada industri lain kecuali pembalakan dan perladangan.

Syarikat amat memerlukan pekerja

Ketua Pegawai Eksekutif United Plantations Bhd yang berpangkalan di Perak, Datuk Carl Bek-Nielsen berkata pada masa ini, syarikat sedang berhadapan kekurangan tenaga kerja yang teruk, tidak seperti sebelumnya.

“Kami mempunyai kira-kira 15 peratus pekerja tempatan dan 85 peratus pekerja asing. Tetapi, sejak Malaysia menutup secara sementara sempadannya bagi mengekang penularan COVID-19, kami telah diberi keutamaan untuk mengambil pekerja rakyat Malaysia tetapi malangnya, minat mereka untuk menyertai dan bekerja dalam sektor pertanian tidak ada.

“Ini meskipun pada hakikatnya, pekerja ditawarkan kediaman percuma, air percuma, elektrik percuma, perubatan percuma serta peluang memperoleh gaji 50-60 peratus lebih banyak daripada upah minimum tanpa perlu membayar rumah, air, elektrik dan perubatan,” kata beliau.

Bek-Nielsen berkata setakat ini, kurang daripada 60 penduduk Malaysia telah menyertai syarikat itu tetapi tiada seorangpun yang bersedia untuk melibatkan diri dalam operasi penuaian.

Sehubungan itu, syarikat telah merayu kepada kerajaan untuk setidak-tidaknya membenarkan sektor itu mengambil pekerja asing untuk kerja-kerja penuaian yang disifatkan amat penting memandangkan kerugian tanaman telahpun dapat dilihat di kawasan perladangan.

“Kami akan mematuhi dengan ketat prosedur operasi standard (SOP) kerajaan dalam mengendalikan ujian COVID-19 sebelum berlepas dan setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan semua pekerja ini akan dikuarantinkan selama 14 hari dan sekali lagi mengambil ujian terakhir COVID-10 selepas 14 hari.

“Hanya sekiranya mereka negatif COVID-19, kita akan mempertimbangkan membawa mereka ke estet untuk memulakan pekerjaan. Semua syarikat perladangan yang dipertimbangkan untuk kebenaran khas ini sudah tentunya akan membayar semua perbelanjaan,” kata beliau.

Sime Darby Plantation juga mencari calon pekerja di penjara dan pusat pemulihan dadah sebagai sebahagian daripada usahanya mendapatkan lebih ramai pekerja tempatan bagi menangani masalah kekurangan tenaga kerja asing.

Kumpulan perladangan berasaskan kelapa sawit itu kini berhadapan dengan kekurangan seramai 2,500 pekerja atau 10 peratus daripada tenaga buruh asing di Malaysia berikutan pandemik itu.

Adakah bekerja di ladang kelapa sawit sesuai untuk rakyat Malaysia?

Bernama telah melakukan temu bual secara rawak untuk mengetahui apakah rakyat Malaysia sanggup untuk bekerja di ladang penanaman kelapa sawit, terutamanya pada ketika ini kadar pengangguran dalam negara telah meningkat berikutan penutupan perniagaan yang terjejas teruk akibat pandemik.

Bekas jurukamera, 38, tidak dapat membayangkan dirinya bekerja dalam sektor perladangan kelapa sawit meskipun berhadapan masa sukar selepas syarikat terdahulunya memberhentikan sebilangan besar pekerja.

“Saya rasa pekerjaan itu tidak sesuai dengan saya dan saya tidak mempunyai sebarang pengalaman bekerja di ladang kelapa sawit. Tambahan pula saya sudah berkeluarga dan tidak sanggup tinggal berjauhan dengan mereka,” katanya.

Seorang lagi yang berjaya ditemu bual pula merasakan kurangnya aktiviti berbentuk hiburan sekiranya bekerja di ladang kerana pada kebiasaannya kawasan perladangan terletak di luar bandar.

“Walaupun pada masa ini semuanya telah tersedia, tetapi saya masih tidak dapat menggambarkan diri saya tinggal di kawasan estet yang mana saya perlu pergi jauh ke bandar untuk membeli barang runcit dan membeli belah.

"Mungkin seseorang yang suka kedamaian dan ketenangan, jauh dari kesesakan lalu lintas, lebih suka bekerja di ladang. Bagi saya, sekarang saya lebih suka bekerja sebagai pemandu Grab atau di kilang,” kata lelaki berusia 28 tahun yang tinggal di Kuala Lumpur.

Shafinaz Jamaludin, 35, pula mencadangkan agar syarikat swasta atau milik kerajaan yang mempunyai tenaga kerja yang ramai menjalankan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan membawa pekerja mereka ke ladang kelapa sawit sebanyak dua atau tiga kali sebulan.

“Sayangnya, ramai di antara kita yang tidak mempunyai semangat patriotisme dan ramai yang akan memberikan pelbagai alasan dan lebih suka membuang masa dengan TikTok dan menambah jumlah “likes” di akaun media sosial masing-masing kerana mereka menganggapnya lebih menarik.

“Aktiviti CSR seumpama ini (membawa pekerja melawat kawasan perladangan) ialah salah satu cara untuk hadirkan rasa cintakan negara sendiri,” katanya.

Mungkin tidak semuanya benar untuk mengatakan rakyat Malaysia tidak mahu “mengotorkan tangan” mereka dengan bekerja di kawasan perladangan.

Ada segelintir, terutamanya yang mempunyai semangat nasionalisme yang kuat, yang mahu memainkan peranan mereka dalam mengatasi isu kekurangan pekerja ini.

Ia boleh menjadi satu penyelesaian jangka pendek sehinggalah kerajaan, agensinya dan syarikat menghasilkan satu pelan tindakan yang bersesuaian dan wajar serta memperuntukkan pelaburan yang diperlukan untuk penambahbaikan produktiviti dan penerapan teknologi holistik.- Bernama

Tiada ulasan: