Ahad, 20 September 2020

Insiden kepingan konkrit jatuh, pemaju arah projek pembinaan lebuh raya dihenti

PETALING JAYA: Kerja-kerja pembinaan Lebuh Raya Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) dihentikan serta-merta susulan kejadian kepingan konkrit menghempap sebuah kereta di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) petang tadi.

Pihak pemaju Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) dalam kenyataan berkata, arahan pemberhentian kerja di kawasan terlibat adalah bagi memberi laluan kepada pihak terlibat melakukan siasatan.

“Pihak SUKE telah mengeluarkan arahan pemberhentian kerja serta merta di tapak kejadian dan akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berwajib dalam menjalankan siasatan.

“Pasukan Emergency Response Team (ERT) SUKE berada di tapak kejadian untuk mengawal trafik dan mengalihkan dinding parapet serta kereta yang terlibat,” kata kenyataan itu.

PROLINTAS berkata, pihak SUKE akan memastikan segala aspek keselamatan sentiasa diutamakan dan dipertingkatkan dari masa ke semasa demi keselamatan semua.

“Segala kesulitan yang timbul dari insiden ini amatlah dikesali,” katanya.

Terdahulu, seorang wanita nyaris maut selepas kepingan konkrit daripada kerja-kerja pembinaan lebuhraya SUKE terjatuh menghempap kereta yang dipandunya di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), petang tadi.

Walaupun kereta Proton Saga BLM itu remuk dihempap kepingan konkrit bersaiz 1 meter persegi, namun wanita itu terselamat dan hanya cedera di tangan kirinya.

Ketua Polis Daerah Cheras Mohd Mokhsein Mohamed Zon berkata, kejadian kira-kira 5.45 petang itu berlaku di MRR2 berhampiran sebuah stesen minyak di Bandar Tasik Selatan dari arah Sungai Besi menghala ke Ampang.

Tiada ulasan: