Khamis, 24 September 2020

Individu memiliki dwikerakyatan di Sabah dalam 'radar' JPN

Ekhwan Haque Fazlul Haque

RUSLIN pada sidang media di Kompleks  Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah. FOTO Aswadi Alias

Kota Kinabalu: Individu yang memiliki dwikerakyatan di Sabah dan dikatakan akan mengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Sabtu ini kini dalam 'radar' Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ketua Pengarah JPN, Datuk Ruslin Jusoh berkata, pihaknya kini giat menjalankan risikan dan siasatan mengenai dakwaan wujudnya kumpulan yang memiliki dwikerakyatan akan keluar mengundi dalam PRN Sabah.

Beliau berkata, setakat ini tiada individu ditahan atas kesalahan itu, namun pengesanan lanjut terus dijalankan.

"JPN menegaskan mereka yang memiliki dwikerakyatan tidak layak untuk mengundi dalam mana-mana pilihan raya.

"Malaysia tidak mengiktiraf mereka yang memiliki dwikerakyatan sama ada masih bermastautin di negara ini atau luar negara.

"Mereka perlu memilih sama ada terus kekal sebagai warganegara dengan melepaskan kewarganegaraan lain atau kekalkan kewarganegaraan yang dipilihnya," katanya dalam sidang media di JPN Sabah, di sini, hari ini.

Beliau berkata, bagi memastikan tiada pihak yang mencuba nasib untuk mengundi dalam PRN Sabah walaupun memiliki dwikerakyatan, JPN sudah membuka enam bilik gerakan di seluruh Sabah.

Menurutnya, bilik gerakan yang dibuka di Kota Kinabalu, Papar, Tawau, Keningau dan Sandakan akan berfungsi untuk menyemak kad pengenalan yang mencurigakan ketika hari mengundi Sabtu ini.

"Sistem JPN hanya mengambil masa seminit untuk menyemak ketulenan kad pengenalan seseorang berdasarkan pangkalan data di Putrajaya.

"Selain itu, pelbagai ciri khas yang boleh diperiksa pegawai JPN bagi menentukan ketulenan Mykad," katanya.

Ruslin berkata, JPN kini sudah menjalankan perbincangan lanjut antara agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk memastikan tiada individu yang cuba menggugat kedaulatan negara.

Katanya, orang ramai diminta untuk menyalurkan maklumat mengenai mana-mana individu yang memiliki dwikerakyatan agar tindakan lanjut dapat diambil segera.

Tiada ulasan: