Sabtu, 19 September 2020

Hasrat ambil anak angkat berkecai ditipu ‘scammer’

 Oleh MOHD. SHAHRULANOOR ISHAK

MOHD. WAZIR MOHD. YUSOF

KUANTAN: Seorang suri rumah di Lipis dekat sini kerugian RM2,750 akibat diperdaya sindiket menawarkan pengambilan anak angkat yang tidak wujud.

Kejadian bermula apabila mangsa berusia 41 tahun menghubungi seorang wanita bernama Ashwini pada 4 Ogos lalu untuk bertanya berhubung urusan pengambilan anak angkat.

Selepas itu, mangsa yang bekerja sendiri dari rumah diberikan tiga gambar bayi menerusi aplikasi WhatsApp untuk membuat pilihan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa diminta membayar RM4,000 untuk mendapatkan bayi yang dipilih.

“Pengadu (mangsa) dikehendaki membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM1,500. Pada hari sama, pengadu memindahkan wang menggunakan kad bank ke dalam akaun suspek.

“Setelah pembayaran pendahuluan dibuat, suspek meminta maklumat peribadi pengadu serta suami termasuk kad pengenalan dan sijil perkahwinan,” katanya di sini hari ini.

Mohd. Wazir berkata, bermula urusan itu, mangsa diminta membuat beberapa bayaran lain termasuk upah penyediaan dokumen kelahiran yang sah.

Katanya, suspek memberi alasan tidak dapat menyudahkan urusan di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam tempoh terdekat namun berterusan meminta bayaran-bayaran lain.

“Pada 27 Ogos, suspek memberitahu bahawa prosedur pembeli dikenakan bayaran RM500 dan ia perlu segera dibayar.

“Pengadu berasa tertipu apabila masih diberikan pelbagai alasan oleh suspek. Laporan polis dibuat di Balai Polis Benta, Lipis dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: