Rabu, 16 September 2020

Hasil turun tapi kos naik, nelayan pesisir pantai dibadai dilema

KUALA SELANGOR: Zulkifli Subran 46, hanya mampu merenung ke laut dan mengeluh, mengenangkan ketika mencari rezeki tidaklah sesukar kini.

Setelah lebih 3 dekad menjadi seorang nelayan, Zulkifli sedar rezeki bukan selalu dalam kawalan, dari cuaca tidak mengizinkan dan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang menyukarkan jualan tangkapan.

Namun, kehidupan nelayan pesisir pantai sepertinya kian sempit kerana hasil tangkapan berkurangan ketika kos meningkat.

“Saya melabuh tengok-tengok ‘air tak jalan’. Air itu tak ada arus, kata orang…bila tarik jaring ianya kosong, tidak ada ikan.”

Hasil tangkapan dihantar kepada peraih di pekan dan dibeli pada harga tidak seberapa. Itupun peraih hanya memilih ikan tertentu sahaja.

“Kira tengok dia punya saiz badan (tangkapan). Kalau saiz besar harga lain, kalau saiz kecil harganya lain. Macam gelama itu, biasalah, kadang ada RM1.50 , kadang RM1,” kata Zulkifli.

Kehidupan susah ini turut dirasai seorang lagi nelayan, Saiful Baharin Ab Khair, 49.

Seawal usia 13 tahun, Saiful menjadi nelayan disebabkan kedaifan hidup keluarganya. Dia mula tidak ke sekolah disebab masalah kewangan.

“Saya macam tidak boleh sebab duit belanja sekolah tiada, pergi sekolah tiada kenderaan, jalan kaki pula sekolah jauh, jadi saya cenderung bekerja.

“Orang tua nelayan, jadi nelayan lah,” luah Saiful.

Pada awalnya beliau hanya menolong ayah dan diberi upah RM3 sehari.

“Saya dengan arwah orang tua saya kadang dia bagilah gaji RM3, RM5. Saya kumpullah duit tu.”

Hasil berjimat cermat akhirnya Saiful dapat mengadakan sebuah sampan miliknya sendiri, waktu rakan-rakannya berada dalam kelas di sekolah menengah.

Suatu ketika dahulu sumber pendapatan sebagai nelayan agak berpatutan, baik dari segi hasil tangkapan mahupun harga jualan.

Namun ketika ini hasil tangkapan makin berkurangan terutama bagi nelayan pesisir pantai.

Siput dan kepah sudah berkurangan, manakala kerang “kami tak tangkap”.

Beliau merasakan ia kerana pencemaran laut, daripada kumbahan air dari sawah yang beracun.

Dengan hasil tangkapan tidak memberangsangkan dan menentu, ditambah pula kos bot dan alatan yang tinggi, nelayan pesisir pantai hidup payah, kata Saiful.

“Sebulan paling tinggi pernah dapat kadang-kadang kita orang jumpa (hasil) yang RM1,000, kadang-kadang kita orang tidak jumpa (hasil) pun tapi yang kebiasaannya RM300.”

Bagi Saiful, selain memperkenalkan cara mencari pendapatan sampingan kepada nelayan pesisir pantai, jabatan kerajaan boleh main peranan lebih giat lagi.

“Ambil tindakan pada nelayan yang tidak sepatutnya ada di laut, lepas itu tolong pulihkanlah rumah-rumah ikan yang rosak, mungkin lebih baik ditambah.”

“Kalau boleh saya hendak Jabatan Perikanan, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, ambil tahu keadaan kami sebenarnya. Apakah kami dapat ke laut ke? Ataupun boleh terus cari rezeki tiap hari di situ ke? Kami tak dapat nak luahkan,” ujar Saiful.

Tiada ulasan: