Selasa, 29 September 2020

Hampir separuh kes Covid-19 ada kaitan perjalanan ke Sabah

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

Kira-kira separuh kes Covid-19 yang dicatatkan di luar Sabah mempunyai kaitan dengan penularan wabak dari negeri itu, berdasarkan kiraan Malaysiakini melalui maklumat yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan.

Ia berikutan lonjakan kes Covid-19 di Sabah dan peningkatan perjalanan ke negeri tersebut susulan pilihan raya negeri Sabah baru-baru ini.

Berdasarkan kiraan, terdapat 142 kes Covid-19 di Malaysia dari Sabah sejak 20 Sept lalu.

Berdasarkan sidang media harian dari Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, 94 daripada jumlah kes tersebut merupakan penularan tempatan, di mana 49 daripadanya mempunyai kaitan dengan perjalanan ke Sabah.

Ini termasuk kluster Setapak di Kuala Lumpur (tiga kes) dan kluster Jalan Apas (lapan kes) di Klang, di mana pelancong yang pulang dari Sabah didapati telah menyebarkan jangkitan tersebut kepada ahli keluarga dan rakan serumah yang tidak mempunyai rekod perjalanan ke Sabah.

Antara kes yang mendapat perhatian ialah ahli majlis tertinggi Umno Mohd Razlan Rafii dan Timbalan Ketua Pemuda Umno Shahril Hamdan, yang dikesan positif ketika kembali daripada berkempen di Sabah.

KKM memberikan amaran mengenai kes Covid-19 yang berlaku dalam kalangan mereka yang melakukan perjalanan ke Sabah pada 25 Sept.

Menurut Noor Hisham, 10 kes dilaporkan antara 20 Sept dan 25 Sept. 

Pada keesokan harinya, dilaporkan bahawa 11 lagi kes telah dikenalpasti.

Noor Hisham ketika itu berkata, bagi mereka yang menunjukkan gejala Covid-19 selepas berkunjung ke kawasan zon merah (Tawau, Lahad Datu, Kunak dan Semporna) perlu menjalani saringan Covid-19.

Mereka yang tidak bergejala pula digalakkan menjalani saringan tersebut dan menjalani kuarantin kendiri.

Pada 26 Sept, yang juga merupakan hari mengundi bagi PRN Sabah, Noor Hisham juga ada menyebut mengenai kes-kes baru yang dikesan melalui saringan terhadap individu yang pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah).

Berkuatkuasa dari 27 Sept hingga 10 Okt, pelawat yang baru tiba dari Sabah diwajibkan menjalani ujian saringan dan tempoh kuarantin sehingga keputusan ujian saringan tersebut diketahui.

Kerajaan semalam mengumumkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) secara pentabdiran di empat daerah di Sabah (Lahad Datu, Tawau, Kunak dan Semporna) yang berkuat kuasa tengah malam tadi.

Lonjakan kes Covid-19 di Sabah berlaku sejak awal bulan ini, selepas kluster Benteng LD dikesan pada 1 Sept.

Sehingga semalam, kluster Benteng LD mencatatkan 873 kes. 

Daripada jumlah tersebut, 675 merupakan banduan dan tahanan lokap, 25 merupakan anggota polis dan pegawai penjara dan 31 adalah anggota keluarga kakitangan dan tahanan.

Bagaimanapun, kategori kedua terbesar bagi kluster Benteng LD merupakan kontak dengan kes berkenaan di mana 142 kes dikesan positif Covid-19 setakat ini.

Untuk rekod, sejak kluster Benteng LD dilaporkan, terdapat sembilan lagi kluster yang dikenalpasti di negeri itu, menjadikan ia sebanyak 1,189 kes.

Terdapat 1,352 kes Covid-19 dilaporkan di Sabah sejak 1 Sept. 

Ini bermakna 163 kes tidak berada dalam mana-mana kluster tersebut.

Walaupun sebilangan kes itu merupakan kes import, banyak kes dikesan ketika pesakit datang untuk melakkukan pemeriksaan saringan.

Jika dibuat perbandingan, hanya 342 kes dilaporkan di seluruh Malaysia sejak 1 Sept termasuk kes import.

Tiada ulasan: