Khamis, 17 September 2020

Guan Eng sekali lagi nafi terlibat rundingan terus projek bawah kementerian Zuraida

 
Lim Guan Eng berkata Zuraida Kamaruddin bermain politik dengan menyalahkannya
atas keputusan yang dibuat oleh Kabinet PH.

PETALING JAYA: Bekas menteri kewangan Lim Guan Eng mengulangi kenyataan beliau tidak pernah terlibat dalam rundingan terus untuk projek sisa pepejal Taman Beringin kerana ia bawah kendalian Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Ia susulan laporan mengatakan ahli perniagaan Tamrin Ghafar menyatakan hasrat memfailkan saman di mahkamah terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Sebelum ini, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz menyenaraikan projek tersebut antara diberikan melalui rundingan terus oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang dianugerahkan kepada Bumi Segar Indah. Tamri adalah penasihat syarikat itu.

Zuraida berkata, beliau tidak mengetahui mengenai projek itu dan menyalahkan Lim, dengan mengatakan Lim bersetuju untuk mengurangkan kos projek sebanyak 10% dan menasihati syarikat itu mendapatkan KPKT untuk membuat kertas cadangan secara rasmi.

Dalam kenyataan hari ini, Lim berkata projek itu mula dilaksanakan menerusi rundingan terus pada 2017 bawah kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Saya tidak terlibat sebagai menteri kewangan dalam perbincangan atau proses rundingan terus bagi projek ini, sama ada dengan syarikat mahupun dengan Tamrin, kerana projek ini bawah pengendalian KPKT.”

Lim berkata, KPKT ada mengambil inisiatif membuat permohonan kepada Kementerian Kewangan untuk melantik semula syarikat tersebut di mana Kabinet memutuskan secara dasar pada 2018, semua projek rundingan terus bawah BN hanya akan disambung sekiranya potongan harga sebanyak 10% diberikan.

“Memang ada surat permohonan daripada ketua setiausaha KPKT kepada menteri kewangan agar projek terbabit dijalankan secara rundingan terus.

“Tidak mungkin projek sebesar ini diluluskan tanpa pengetahuan Zuraida,” katanya.

Lim berkata, sekiranya ada surat arahan daripada beliau, Zuraida sudah tentu akan mendedahkannya lebih awal.

“Sememangnya Zuraida bermain helah politik apabila cuba mengaitkan keputusan Kabinet PH pada 2018 untuk memotong 10% daripada harga kontrak rundingan terus yang diluluskan oleh BN, sebagai bukti bahawa saya sendiri yang membuat keputusan memotong harga 10% tersebut untuk meneruskan projek itu.

“Sungguhpun Kabinet yang sebenarnya membuat keputusan pemotongan harga 10% daripada semua projek rundingan terus BN, ia tetap menjadi, ‘ini semua salah Lim Guan Eng’,” katanya.

Tiada ulasan: