Selasa, 15 September 2020

DBKL kaji semula arahan pembangunan elak banjir kilat

Datuk Bandar Kuala Lumpur Nor Hisham Ahmad Dahlan 
berkata pada masa sama DBKL turut merancang untuk 
memperbesar dan mendalamkan kolam takungan banjir.

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menyemak semula syarat arahan pembangunan sebelum diberikan kepada pemaju supaya kejadian banjir kilat yang berlaku di ibu negara Khamis lalu tidak berulang.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, setiap pemaju perlu memastikan sistem perparitan yang berada dalam kawasan pembinaan mereka sentiasa dalam keadaan baik.

“Kita akan mengawal syarat-syarat (sebelum kita luluskan arahan pembangunan) supaya kontraktor menjaga utiliti daripada diabaikan semasa pembinaan,” katanya kepada pemberita hari ini.

Pada masa sama, Hisham berkata DBKL turut merancang untuk memperbesar dan mendalamkan kolam takungan banjir.

Nor Hisham Ahmad Dahlan

“Kita sedang mengenal pasti kolam, lombong atau tasik yang sesuai untuk dijadikan kolam takungan banjir.

“Bagi perumahan baharu, kita akan memastikan kontraktor menyediakan kolam takungan banjir untuk kawasan pembinaan mereka. Walaupun memerlukan kos yang tinggi, ia untuk kepentingan orang ramai,” katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta kerjasama orang ramai tidak membuang sampah dalam longkang dan kawasan perparitan.

“Sebab Kuala Lumpur ini kita punya, kalau bukan kita yang jaga, siapa lagi? Kitalah sebagai warga Kuala Lumpur,” katanya.

Pada 10 September lalu hujan lebat bermula 1.30 tengah hari mengakibatkan 5 kawasan di sekitar ibu negara dilanda banjir kilat iaitu Lebuh Ampang di pusat bandar, Jalan Raja Alang (Kampung Baru), Lorong Air Leleh (Setapak) dan Jalan Gurney serta Jalan San Ah Wing (Semarak).

Banjir kilat itu menyebabkan air naik setinggi 1 hingga 3m di kawasan terjejas.

Seramai 15 mangsa yang terperangkap akibat banjir di Jalan Gurney dan Kampung Periuk di Jalan Raja Alang, diselamatkan bomba.

Tiada ulasan: