Rabu, 16 September 2020

COVID-19: Vaksin keluaran China siap November ini

Athirah Huda Zalhe

 

5.7 bilion dos dibangunkan sudah ditempah setakat bulan lalu

BEIJING – Vaksin COVID-19 yang dibangunkan oleh China dijangka dapat digunakan kepada umum seawal November tahun ini, kata pegawai Pusat Pengawalan dan Pencegahan Penyakit China (CDC).

China mempunyai empat vaksin COVID-19 yang kini di peringkat akhir ujian klinikal. 

Tiga daripadanya telah ditawarkan kepada pekerja sektor penting di bawah program penggunaan kecemasan yang dilancarkan pada Julai lalu.  

Ujian klinikal fasa ketiga berjalan lancar dan vaksin dijangka dapat disiapkan untuk umum pada bulan November atau Disember, kata Pakar Biosafety CDC, Guizhen Wu. 

Wu berkata, beliau tidak mengalami gejala tak normal dalam tempoh beberapa bulan terakhir setelah mengambil vaksin klinikal sendiri pada bulan April. 

Syarikat gergasi farmaseutikal, China National Pharmaceutical Group (Sinopharm) dan Sinovac Biotech yang disenaraikan di Amerika Syarikat sedang membangunkan ketiga-tiga vaksin di bawah program penggunaan kecemasan negeri.

Vaksin COVID-19 keempat yang dibangunkan oleh CanSino Biologics telah diluluskan oleh tentera China pada bulan Jun. 

Pada Julai lalu, Sinopharm berkata vaksinnya sudah boleh digunakan untuk umum pada akhir tahun ini setelah tamat percubaan klinikal ketiga.

Sehingga kini berlaku persaingan di seluruh dunia untuk menghasilkan vaksin, dengan 5.7 bilion dos yang sedang dibangunkan sudah ditempah, setakat bulan lalu. 

Namun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa vaksin bagi imunisasi secara meluas terhadap COVID-19 hanya akan berada di pasaran pada pertengahan tahun depan. -Agensi

Tiada ulasan: