Jumaat, 18 September 2020

Covid-19: Sabah catat kes tertinggi, Kluster Selamat muncul di Semporna

Norlaile Abd Rahman
MGF21052020_SARINGAN-FLAT-SRI-SELANGOR05-681x454
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR- Terdapat 21 kes baharu positif Covid-19 dikesan setakat jam 12 tengahari tadi melibatkan lima kes import dengan 16 penularan tempatan.

Sabah terus merekodkan kes tertinggi sebanyak lapan kes baharu hari ini yang terdiri daripada lima jangkitan tempatan dan dua kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah turut memaklumkan, terdapat satu lagi kluster baharu iaitu Kluster Selamat telah dikenal pasti di Semporna, Sabah hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, lima kes penularan tempatan di Sabah melibatkan dua kes daripada saringan Kluster Benteng LD melibatkan seorang warganegara Malaysia dan seorang bukan warga negara; satu kes daripada Kluster Selamat (warganegara Malaysia); satu kes saringan kemasukan ke Hospital Tawau (warganegara Malaysia); dan satu kes saringan sign-off kapal di Pelabuhan Sipitang (warganegara Malaysia).

Selain Sabah, Kedah terus mengekalkan jumlah kes positif yang tinggi iaitu sebanyak tujuh kes yang kesemuanya melibatkan penularan tempatan dan warganegara Malaysia.

Enam daripada tujuh kes itu menurut Dr. Noor Hisham adalah daripada Kluster Sungai manakala baki satu kes lagi adalah hasil saringan kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran Daerah Kota Setar.

Pulau Pinang mencatatkan dua kes tempatan melibatkan dua rakyat Malaysia hasil saringan ahli keluarga yang tinggal serumah kepada kes ke-9397.

Selangor pula mencatatkan satu kes penularan tempatan melibatkan warganegara Malaysia yang bergejala di Hospital Sungai Buloh dan dua kes import melibatkan warganegara Malaysia yang baru pulang dari New Zealand.

Sarawak mencatatkan satu kes baharu jangkitan tempatan melibatkan rakyat Malaysia yang disaring di Pintu Masuk Antarabangsa.

“Sehingga kini, terdapat 13 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana dua kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Adalah dimaklumkan bahawa tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan pada hari ini. Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 128 kes (1.27 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

“Terdapat 15 kes yang telah pulih COVID-19 pada hari ini. Jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya dari COVID-19 adalah sebanyak 9,250 kes (92.0 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

“Sehingga 17 September 2020 pukul 12:00 tengah hari, terdapat 21 kes baharu yang telah dilaporkan. Ini menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 10,052 kes. Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 674 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan.

“Sehingga kini, terdapat 13 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana dua kes memerlukan bantuan pernafasan dan tiada kematian direkodkan pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif korban Covid-19 kekal 128 kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: