Ahad, 13 September 2020

Cadangan PH ditolak Speaker Johor

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR
SUHAIZAT KAIAT

ISKANDAR PUTERI : Cadangan pembangkang untuk mencalonkan bekas Pengarah Kesihatan Negeri, Dr. Selahuddeen Abd Aziz sebagai Ahli Dewan Negara ditolak.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizat Kaiat berkata, cadangan yang dikemukakan Aminolhuda Hassan (Amanah-Parit Yaani) adalah tidak mengikut peraturan DUN.

“DUN hanya menerima satu nama sahaja untuk pencalonan ini. Sebarang usul pencalonan hendaklah dikemukakan 14 hari sebelum sidang DUN.

“Maka cadangan Parit Yaani untuk mencalonkan nama tersebut ditolak,” katanya sewaktu Sidang DUN di sini hari ini.

KETUA Bahagian UMNO Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan dipilih sebagai Ahli Dewan Negara setelah mendapat persetujuan DUN Johor.

Terdahulu, Aminolhuda selaku Ketua Pembangkang bangkit mencadangkan nama Dr. Selahuddeen kerana pengalamannya mengendalikan insiden pencemaran Sungai Kim Kim pada 2019.

“Dewan Negara memerlukan seorang yang arif dan pakar dalam bidang perubatan apatah lagi negara kini berhadapan pandemik Covid-19.

“Justeru itu, kami (Pakatan Harapan) mencadangkan Dr. Selahuddeen sebagai calon Ahli Dewan Negara bagi mewakili Johor,” katanya.

Dalam pada itu, Suhaizat kemudian mengumumkan Ketua Bahagian UMNO Tanjung Piai, Datuk Jefridin Atan sebagai Ahli Dewan Negara setelah mendapat persetujuan DUN.

Nama Jefridin pada mulanya dicadangkan oleh Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dengan mengambil kira pengalamannya sebagai Pegawai Khas kepada Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. -UTUSAN

Tiada ulasan: