Ahad, 13 September 2020

86,100 terima bantuan Bank Makanan

Mohamed Farid Noh dan Omar Ahmad

GAMBAR hiasan.

Iskandar Puteri: Seramai 86,100 rakyat Johor sudah menerima bantuan menerusi Program Bank Makanan, sehingga 8 Jun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, Dr Chong Fat Full berkata, bantuan berkenaan diagihkan kepada penerima menerusi tiga fasa sejak awal tahun lalu.

Katanya, ia membabitkan seramai 40,309 penerima (fasa pertama), 39,541 penerima (fasa kedua) dan seramai 6,250 (fasa ketiga).

"Kriteria penerima Program Bank Makanan ini pada awalnya membekalkan makanan keperluan harian kepada golongan B40 terutama penerima bantuan e-kasih, asnaf zakat dan penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Bagaimanapun, pada tahun ini kita menghadapi cabaran hebat menerusi penularan wabak Covid-19 menyebabkan penerima bantuan program ini diperluaskan.

"Sejak wabak Covid-19 menular, kerajaan Johor turut menyalurkan bantuan Program Bank Makanan kepada rakyat terjejas pendapatan terutama peniaga kecil yang tidak dapat menjalankan aktiviti perniagaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Bantuan berkenaan turut disalurkan kepada mereka yang diberhentikan kerja terutama sektor pelancongan, perhotelan, pembinaan dan perkhidmatan sepanjang PKP dilaksanakan, " katanya.

Dr Chong (Bersatu-Pemanis) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Sharifah Azizah Syed Zain (BN-Penawar) pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Ketiga Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Chong berkata, bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan Program Bank Makanan, kerajaan Johor menggariskan pendekatan lebih proaktif bagi menjamin ia sampai kepada rakyat memerlukan.

Katanya, sepanjang tempoh PKP ini kerajaan negeri menetapkan pusat pengumpulan barangan bantuan program ini akan dikumpul dan diedarkan menerusi Pejabat Daerah.

"Sehubungan itu, sumbangan atau bantuan daripada agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat atau sukarelawan perlu diselaraskan supaya proses agihan bantuan lancar dan sampai ke golongan sasaran selain mengelakkan penerimaan berganda, " katanya.

Tiada ulasan: