Isnin, 14 September 2020

71 warga asing langgar Akta JPJ

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
 
AZMIL Zainal Adnan (kiri) bersama seorang pegawai JPJ 
memeriksa motosikal milik warga asing yang diubah suai 
untuk mengutip barangan lusuh dalam operasi khas jabatan 
itu di Johor Bahru, semalam. - UTUSAN/BAAZLAN CHE 
IBRAHIM

JOHOR BAHRU: Seramai 71 pemandu warga asing ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri atas pelbagai kesa­lahan dalam operasi khas yang diadakan sejak Isnin lalu.

Pemangku Pengarah JPJ nege­ri, Azmil Zainal Adnan berkata, sebanyak 251 notis turut dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan gagal mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya serta Kaedah-kaedah Pengangkutan Jalan.

Katanya, kesemua yang ditahan membabitkan 37 warga Rohingya, Pakistan (25), Bangladesh (enam) dan India (tiga) sepanjang operasi khas Pemandu Warga Asing (Pewa) dijalankan.

“Hasil risikan yang dijalankan selama sebulan mendapati pemandu warga asing memandu kenderaan tanpa lesen yang sah termasuk membawa motosikal yang telah diubah suai menjadi kenderaan tiga roda bagi tujuan mengutip atau membawa barangan lusuh.

“Kawasan Kempas merekodkan jumlah tertinggi tangkapan warga asing yang membawa motosikal beroda tiga bagi me­lakukan kegiatan tersebut.

“Terdapat juga mereka yang membawa kenderaan perkhidmatan barangan seperti van dan lori bagi tujuan perniagaan seperti menghantar pesanan barangan dan sebaliknya,” katanya dalam sidang akhbar di sini semalam.

Seramai 31 orang pegawai dan anggota penguat kuasa terlibat dalam operasi khas tersebut yang dijalankan sekitar bandar raya ini.

Azmil memberitahu, seba­nyak 130 buah kenderaan telah diperiksa dan disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Katanya, pemilik kenderaan juga dinasihatkan agar tidak sewenang-wenangnya membenarkan warga asing ini menggunakan kenderaan milik mereka yang melanggar peraturan yang ditetapkan.

“JPJ memandang serius perkara ini bagi mengelakkan berlakunya kemalangan yang meragut nyawa serta mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: