Rabu, 30 September 2020

30 rumah rosak teruk .

Norzamira Che Noh
 
ZURAIDA (kanan) melihat keadaan struktur bangunan yang mengalami keretakan ketika mengadakan lawatan di flat Taman Sri Berembang.
ZURAIDA (kanan) melihat keadaan struktur bangunan yang 
mengalami keretakan ketika mengadakan lawatan di flat Taman 
Sri Berembang.

Pelabuhan Klang: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) meminta kerjasama kerajaan Selangor bagi menyelesaikan masalah bangunan flat Taman Seri Berembang yang kini dalam keadaan kritikal.

Sebuah blok di flat yang berusia 22 tahun itu kini mengalami keretakan serius dan tidak selamat untuk didiami.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, KPKT bersedia membina penempatan baharu untuk penduduk yang terjejas, bagaimanapun, kementerian itu perlu mendapat kerjasama daripada kerajaan negeri.

"Pembinaan semula perlu dilakukan kerana flat berkenaan mengalami kerosakan struktur apabila jika kita membuat baik pulih, ia akan menghasilkan kesan 'domino' yang akan turut menjejaskan keseluruhan blok di taman itu.

"Kita boleh membina semula penempatan baharu dengan anggaran kos (pembinaan semula) RM50 juta bagaimanapun kita meminta Selangor menyediakan sebidang tanah.

"Dalam pada itu, 30 rumah dikesan mengalami keretakan dan kerosakan yang teruk oleh itu kita mahu 30 keluarga ini dipindahkan ke mana-mana rumah Selangorku berdekatan," katanya selepas mengadakan lawatan ke flat berkenaan semalam.

Beliau berkata, kementerian itu tidak mempunyai rumah di kawasan berdekatan dan kerjasama kerajaan negeri diperlukan bagi memastikan 30 keluarga itu tinggal di kediaman yang lebih selamat.

Katanya, satu mesyuarat penyelarasan juga perlu dibuat antara KPKT dan kerajaan negeri untuk berbincang mengenai penempatan semula penduduk itu.

"Sekiranya projek ini berjaya dilakukan, ia akan menjadi model KPKT dalam pembangunan semula rumah kos rendah yang berusia lebih 30 tahun khusus di Selangor," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Penduduk Taman Seri Berembang, Mohd Yusof Dolah berkata, pihaknya bersyukur kerana masalah yang sekian lama dihadapi penduduk mendapat perhatian menteri KPKT.

"Terdapat 478 unit rumah di lima blok flat ini dan sekiranya pembinaan semula dilakukan, kami berharap ia tidak terlalu jauh memandangkan rata-rata penduduk bekerja di sekitar Pelabuhan Klang malah ramai anak kami juga bersekolah di sini.

"Insya-Allah kami akan memberikan kerjasama kepada pihak yang terbabit sama ada untuk penempatan atau pembinaan semula flat," katanya.

Sebelum ini, isu flat uzur itu disiarkan di saluran berita sebuah stesen televisyen dan mendapat perhatian beberapa pihak.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: