Rabu, 16 September 2020

2.4 juta saman JPJ tertunggak

Oleh NURAINA HANIS ABD. HALIM

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengingatkan orang ramai agar menyelesaikan saman tertunggak susulan pelaksanaan diskaun saman 70 peratus bermula 1 Ogos sehingga 31 Ogos ini.

JPJ dalam kenyataan hari ini berkata, jumlah saman tertunggak dan masih belum dijelaskan sehingga kini adalah sebanyak 2.4 juta dengan anggaran kutipan selepas pengurangan sebanyak RM170 juta.

Menurutnya, saman yang disenarai hitam adalah sebanyak 1.79 juta.

“Orang ramai diingatkan merebut peluang ini dan tidak menunggu sehingga saat akhir bagi mengelakkan sebarang kesulitan yang tidak diingini.

“Seperti yang diketahui umum, saman yang tidak dibayar akan disenaraihitamkan dan kesannya akan menimbulkan masalah ketika berurusan dengan JPJ seperti pembaharuan lesen memandu, lesen kenderaan motor, proses tukar hak milik serta lain-lain lagi,” katanya.

Dalam pada itu, JPJ berkata, sebanyak RM3.85 juta hasil pembayaran 51,178 berjaya dikutip sehingga 15 Ogos lalu. 

Jelasnya, JPJ negeri Selangor adalah yang tertinggi membuat kutipan iaitu sebanyak RM620,157 dengan 8,165 saman diselesaikan. 

“Pembayaran itu diselesaikan melalui pelbagai saluran antaranya kaunter JPJ, kaunter bergerak JPJ serta portal dan kios JPJ,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

Tiada ulasan: