Selasa, 29 September 2020

2 pelajar di Selangor, seorang kakitangan bank di JB positif Covid-19

Dua pelajar sekolah menengah di Pelabuhan Klang menerima rawatan di Hospital Sungai 
Buloh.

SHAH ALAM: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor memaklumkan terdapat 2 pelajar di sebuah sekolah menengah di Pandamaran Jaya, Pelabuhan Klang, dikesan positif Covid-19.

Bagaimanapun, pengarahnya Dr Sha’ari Ngadiman ketika dihubungi berkata, kedua-dua pelajar berkenaan telah dihantar ke Hospital Sungai Buloh, untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Kedua-dua pelajar berkenaan yang juga adik beradik disyaki dijangkiti oleh abang mereka, yang mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) Izmi Ismail pula berkata, sekolah berkenaan masih meneruskan sesi persekolahan seperti biasa hari ini, namun kelas kedua-dua adik beradik itu disanitasi sepenuhnya terlebih dahulu, sebelum digunakan.

Katanya, sebarang tindakan lanjut seperti penutupan sekolah itu sekiranya perlu, adalah berdasarkan kepada nasihat daripada Pejabat Kesihatan Daerah Klang.

Sementara itu di Johor Bahru, CIMB Group Holdings Bhd hari ini mengesahkan 1 kes Covid-19 melibatkan seorang kakitangannya yang bertugas di bahagian komersial, cawangan Permas Jaya.

Kumpulan itu menyatakan sebagai tindakan pencegahan, keseluruhan cawangan itu telah melalui pensanitasian dan pembersihan, semalam.

“Ini berikutan 1 kes yang disahkan Covid-19 di pejabat komersial Bank CIMB, yang terletak di tingkat berbeza cawangan Permas Jaya. Tiada kakitangan cawangan bank telah berurusan dengan pekerja komersial bank tersebut,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook CIMB Malaysia hari ini.

Bank itu turut memberikan jaminan kepada pelanggannya yang cawangan bank CIMB Bandar Baru Permas Jaya dibuka seperti biasa.

Pengarah Kesihatan Johor Dr Aman Rabu yang dihubungi, turut mengesahkan proses sanitasi dilakukan CIMB adalah atas inisiatif sendiri dan langkah kawalan, berikutan pengesanan kes Covid-19 melibatkan kakitangan bank berkenaan.

Beliau berkata demikian, ketika diminta mengulas mengenai beberapa keping gambar yang tular di media sosial, mendakwa terdapat kes Covid-19 di cawangan bank berkenaan, yang menunjukkan beberapa individu sedang melakukan proses sanitasi.

Tiada ulasan: