Jumaat, 28 Ogos 2020

Vernakular duri dalam daging perpaduan negara

Siti Hafidah

 

PEMBELA sokong gesa mansuh sekolah berkenaan secara berperingkat

BANGI – Pemuda Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menyokong gesaan memansuhkan sekolah vernakular secara berperingkat.

Ketua Kluster Belia PEMBELA, Luqman Abd Hamid berkata, kenyataan berhubung isu berkenaan oleh Angkatan Pemuda-Pemudi BERJASA (ANGKASA), serta Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) wajar disokong dan disambut seluruh rakyat Malaysia yang patriotik.

“Sekolah vernakular menjadi duri dalam daging kepada perpaduan negara. Pemuda PEMBELA ingin memberi penekanan khusus bahawa wacana perpaduan perlu dibincangkan secara serius.

“Selain itu, gerakan pemuda perlu bergerak berganding bahu di dalam isu sekolah vernakular kerana masa depan negara adalah di bahu kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique memberi jaminan kerajaan tidak akan memansuhkan sekolah vernakular.

Kenyataan itu mendapat reaksi negatif pelbagai pihak yang mendukung hanya sekolah satu aliran sahaja diwujudkan di negara ini.

Terdahulu tiga pertubuhan memfailkan permohonan untuk menjadi pencelah dalam saman yang difailkan Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) di Mahkamah Tinggi di Kota Bharu bagi mencabar kewujudan sekolah vernakular di negara ini.

Permohonan itu difailkan Majlis Bahasa Cina, Persatuan Bahasa Tamil dan Gabungan Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tamil.

Selain iGuru, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) antara gerakan Islam yang memfailkan writ saman berhubung keabsahan sekolah vernakular.

Presidennya, Haji Aminuddin Yahaya menegaskan, sudah tiba masanya mahkamah meletakkan satu titik pengakhiran terhadap sekolah vernakular yang sejak dahulu lagi mewujudkan polemik dalam memupuk perpaduan kaum di Malaysia.

Pada 16 November tahun lalu, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (MAPPIM), juga memfailkan writ saman bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa kewujudan sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil adalah bercanggah Perlembagaan Persekutuan.

Tiada ulasan: