Rabu, 26 Ogos 2020

Tiada cadangan import benih padi

Yusmizal Dolah Aling
 
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

KERAJAAN tidak bercadang untuk mengimport benih padi atau padi hibrid daripada luar negara.

Ini kerana penyelidikan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) mensasarkan penghasilan varieti padi antara 15 hingga 20 peratus daripada varieti tempatan ketika ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, ketika ini kementerian sudah menghasilkan beberapa jenis benih padi yang boleh dituai dalam masa 110 hari.

"Seperti MR253, MR220, MR303, dan MR307. Hasilnya tidak kurang daripada tujuh tan sehektar dan mencecah sepuluh tan sehektar.

"Apa yang Yang Berhormat sebut untuk import dari luar, varieti benih yang sudah kita hasilkan sebenarnya menjadikan hasil kita lebih tinggi berbanding import," katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Tarmizi Sulaiman (Pas-Sik) mengenai apakah kerajaan bercadang untuk mengimport benih padi atau padi hibrid daripada negara pengeluar lain.

Katanya keadaan cuaca dan tanah adalah berlainan daripada negara luar dan untuk itu kerajaan tidak bercadang untuk mengimport benih padi atau padi hibrid daripada luar.

Terdahulu beliau berkata, kementeriannya buat masa ini tidak mengesyorkan penamaan padi tiga musim setahun atau lima musim dua tahun.

"Ia tidak memberikan peningkatan hasil kepada pesawah, berbanding penanaman seperti biasa empat musim dalam dua tahun sebaliknya kos pengeluaran meningkat.

"Serangan penyakit dan perosak sukar dikawal semasa penanaman di luar musim sedia ada dan implikasi kewangan kepada kerajaan, pertambahan subsidi input dan ouput," katanya.

Tiada ulasan: