Isnin, 3 Ogos 2020

Tangani sebaran budaya songsang di media sosial

HARAKAH DAILY

KUALA LUMPUR: Kerajaan digesa tegas dalam menangani penularan budaya songsang yang berleluasa di dalam media sosial hari ini.

Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohammad Abduh Nik Abdul Aziz berkata platform media sosial kini dijadikan sebagai medan utama untuk menyebarkan kegiatan negatif tersebut.

Menurutnya, kerajaan juga perlu memperhalusi serta meneliti kumpulan-kumpulan yang menggunakan media sosial untuk memastikan normalisasi budaya songsang ini agar tidak meresap ke dalam masyarakat.

“Mereka lebih banyak berselindung di sebalik nama hak asasi manusia, tetapi memperjuangkan aktiviti yang banyak menyimpang daripada fitrah manusia.

“Kegiatan normalisasi budaya songsang oleh sebahagian kumpulan hak asasi manusia ini telah mendorong kepada berleluasanya aktiviti songsang dalam masyarakat.

“Ia adalah jarum halus yang terus merosakkan anak bangsa yang lemah imunisasinya menghadapi cabaran luar yang kuat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, tidak terkecuali ada pihak yang mempertikai dan memperlekeh usaha kerajaan untuk memulihkan golongan ‘Mak Nyah’ sehingga memberikan persepsi negatif terhadap usaha itu.

Berkata Nik Abduh lagi, pertikaian ini juga bertitik tolak daripada usaha mereka mempertahankan budaya songsang tersebut masuk ke dalam masyarakat.

Justeru, beliau mengharapkan langkah yang tegas daripada kerajaan bagi menangani isu yang dibangkitkan.

Tegasnya, penularan budaya songsang yang disokong lagi dengan ruang normalisasi budaya tersebut ke dalam masyarakat merupakan racun yang merosakkan negara dan masyarakat.- HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: