Sabtu, 8 Ogos 2020

Tanah rizab Melayu kini tinggal 12 peratus sahaja

 Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

 

Kerajaan disyor wujudkan ‘Kementerian Tanah dan Hak Pribumi’

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pembela-Pembela Islam (PEMBELA) menggesa kerajaan menubuhkan satu kementerian baharu bagi menjaga tanah rizab Melayu.

Pengerusinya, Haji Aminuddin Yahaya dalam satu sidang media mengesyorkan kerajaan menamakan ia sebagai Kementerian Tanah dan Hak Pribumi.

Syor itu, katanya, dikemukakan ekoran kebimbangan PEMBELA akan kehilangan sebahagian besar tanah rizab Melayu yang kini hanya tinggal sekitar 12 peratus sahaja. 

“Ia mesti diganti balik dengan nilaian yang sama bagi mengembalikan semula hak orang Melayu yang telah dicabuli seperti yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan Fasa 89 dan 89 (3) serta Wasiat Raja-Raja Melayu.

“Oleh itu, PEMBELA menggesa supaya kerajaan menubuhkan Kementerian Tanah dan Hak Pribumi,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas Tuntutan-tuntutan NGO Islam kepada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diadakan di Hotel Putra, di sini, hari ini.

Selain itu, bagi menjamin tanah air ini tidak terjual kepada bangsa asing pula, beliau berkata, kerajaan digesa untuk menubuhkan Lembaga Amanah Tanah Rizab Melayu.

“Lembaga itu juga perlu diberi peruntukan sebanyak RM5 bilion bagi tujuan membeli kembali hartanah yang strategik dan juga hartanah rizab Melayu yang telah terjual kepada pihak asing,” katanya.

Beliau berkata, cadangan ini akan dikemukakan kepada pihak Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam masa yang terdekat.

Tiada ulasan: