Selasa, 25 Ogos 2020

Tak perlu pelitup, murid sekolah boleh guna pelindung muka saja...

Astro Awani
Tak perlu pelitup, murid sekolah boleh guna pelindung muka saja...
Kelonggaran itu diberikan kerana kerajaan memikirkan kos 
pembelian pelitup muka pakai buang yang agak membebankan. 
-Bernama
 
KUALA LUMPUR: Kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dibenarkan memakai pelindung muka tanpa pelitup muka ketika ke sekolah, kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
 
Katanya, keputusan itu dibuat semasa Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini dan dipersetujui Kementerian Kesihatan (KKM).
 
Beliau berkata bagaimanapun penggunaan pelindung muka bersama pelitup muka adalah digalakkan.
 
"Jika mereka pakai pelindung muka dan pakai pelitup muka itu lebih baik, tetapi kalau tiada pelitup muka, ada pelindung muka sahaja pun sudah boleh dianggap pelindung kepada kesihatan diri sendiri," katanya.
 
Beliau berkata demikian pada sidang media perkembangan PKP Pemulihan (PKPP) di bangunan Parlimen di sini, hari ini.
 
Beliau berkata kelonggaran itu diberikan kerana kerajaan memikirkan kos pembelian pelitup muka pakai buang yang agak membebankan, terutama bagi keluarga pelajar miskin.
 
"Ini untuk permudahkan dan memberi sedikit ruang dan kelonggaran kepada pelajar-pelajar miskin sebab saya difahamkan harga pelindung muka adalah lebih kurang RM3 hingga RM5 sekeping dan boleh diguna berbulan-bulan.
 
"Untuk membeli pelitup muka pakai buang, ini agak membebankan bagi keluarga yang kurang berupaya dan keluarga miskin... kalau sekeping RM1, kalau anak lima orang, sudah RM5 kos untuk sehari," katanya.
 
Ismail Sabri berkata bagaimanapun KKM perlu mengeluarkan garis panduan mengenai langkah untuk membersih dan mencuci pelindung muka bagi memastikan pelindung muka selamat digunakan untuk jangka masa yang lama.

Tiada ulasan: