Jumaat, 14 Ogos 2020

Tak Dapat Tanduk Telinga Dipulas, Lain Bengkak Lain Bernanah

UMNO ONLINE

KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Azhari Shaari berkata tidak dapat tanduk telinga dipulas atau bak kata Tan Sri Noh Omar, lain bengkak lain bernanah.

Ujarnya, tindakan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) merobohkan gerai peniaga kecil milik majoritinya orang Melayu di Bandar Sungai Buloh amat mendukacitakan.

“Masalah yang perlu diutamakan apabila ia ditularkan adalah isu mesin judi, yang boleh menyebabkan masalah sosial jika ia berterusan. Isu gerai burger sepatutnya diselesaikan sahaja dengan pihak terbabit.

“Tindakan MBSA seolah melempiaskan kemarahan atau mengamuk dengan tindakan pihak berkuasa menahan kakitangan mereka. Hinggakan ada yang dituduh kes rasuah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Justeru Azhari menasihati pihak Datuk Bandar Shah Alam agar berjiwa besar.

“Peniaga kecil makanan dan minuman, berapa sangat untung mereka berbanding peniaga rokok seludup dan tokeh kedai mesin judi.

“Bukankah kita pasca Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang mana semua orang tengah susah terutama peniaga yang berniaga sendiri. Kakitangan MBSA mungkin tidak terasa kerana masih ada gaji.

“Bertimbang rasalah. Kepada Ahli Parlimen mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di kawasan tersebut. Bantulah peniaga kecil mendapat lesen,” tegasnya lagi.

Sehubungan itu juga Azhari supaya pihak berkuasa mempunyai sifat belas ehsan kepada rakyat yang terpaksa mengosongkan premis dalam masa 24 jam.

“Ke mana anda semua ADUN dan Ahli Parlimen.

“Inikah yang dikatakan parti yang memberi keadilan kepada rakyat. Sedangkan rakyat tertindas di depan mata,” katanya. – UMNO ONLINE

Tiada ulasan: