Isnin, 10 Ogos 2020

SPRM tumpu penguatkuasa lindungi premis judi di Sg Buloh

Ahmad Khusairi Yahaya berkata, JIPS akan bekerjasama menyalurkan maklumat 
kepada SPRM, jika ada anggota atau pegawai polis yang terbabit dalam sindiket 
perjudian haram di Sungai Buloh.

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia akan memfokuskan anggota penguatkuasa yang menerima rasuah untuk melindungi premis perjudian di sekitar Sungai Buloh, susulan penyebaran klip video di media sosial hujung minggu lalu mendakwa pihak berkuasa terbabit dalam sindiket perjudian haram.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya berkata, beliau sudah menghubungi Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Zamri Yahya untuk membincangkan isu itu pagi ini.

“Beliau memaklumkan JIPS akan mengambil tindakan tegas ke atas premis perjudian, termasuk mana-mana pegawai yang melindungi aktiviti perjudian tersebut kerana kesalahan ini di bawah bidang kuasa polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, JIPS akan bekerjasama menyalurkan maklumat kepada SPRM, jika ada anggota atau pegawai polis yang terlibat.

Beliau menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kepada SPRM, bukan menghebahkannya di media sosial kerana ia tidak akan membantu proses siasatan, sebaliknya memberi peluang kepada pihak terlibat menghapuskan bukti.

Tiada ulasan: